Rampasan daun dan air ketum di sebuah premis kedai di Chegar Medang, Bentong.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas serbuan dilakukan polis di sebuah kedai di Chegar Medang, Bentong kelmarin selepas suspek didapati memasak, membungkus dan menjual air ketum.

Serbuan pada jam 2.45 petang pada hari Khamis lalu itu dijalankan atas maklumat orang ramai.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemeriksaan di bahagian dapur premis itu menemui cecair berwarna hijau dipercayai air ketum, selain 109 bungkusan cecair seberat 136.25 liter dan enam bungkus plastik hitam berisi daum ketum dengan anggaran berat 46.5 kilogram.

“Siasatan polis mendapati daum ketum itu dibeli suspek di Mentakab pada harga RM30 untuk 10 kilogram daripada seorang lelaki tempatan.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Zaiham berkata, suspek yang berusia 24 tahun terlibat dalam kegiatan ini sejak awal tahun ini.

Dia menyewa rumah kedai pada Disember 2021 untuk aktiviti memasak dan membungkus air ketum sahaja.

Suspek dipercayai menjual air ketum ini dengan kenalan terdekat pada harga RM10 sebungkus.

Kata Zaiham, suspek ditahan reman empat hari hingga 21 Mac ini untuk disiasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh membawa hukuman penjara empat tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette