Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 yang melabuhkan tirainya pada hari ini membuktikan semua kepimpinan parti sepakat bahawa mandat memilih kerajaan perlu diserahkan semula kepada rakyat.

Sehubungan itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dakwaan yang bertiup kononnya kepimpinan parti berkenaan tidak sepakat mengenai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah tidak benar.

Tambah beliau, isu PRU-15 telah disuarakan oleh Pemuda UMNO melalui jurucakap dan ia  senada dengan pendirian barisan kepimpinan yang menyampaikan ucapan penggulungan hari ini.

“Pemuda menggunakan PAU untuk menyatakan pendirian, seluruh jurucakap telah menyatakan pendirian dan kami bawa ke Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan wakil kami juga bawa ke PAU hari ini. Jadi kalau kita lihat resolusi yang dibuat adalah secocok dengan kehendak Pemuda UMNO.

“Jadi bagi saya tidak timbul kita berbeza (pendirian), kepimpinan semua sepakat bahawa mandat ini harus kita serahkan kembali kepada rakyat, soal bila, itu diserahkan kepada kepimpinan,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Naib Presiden UMNO pada hari ini berkata, parti tidak akan melengah-lengahkan pembubaran Parlimen sekiranya telah tiba pada masanya.

Beliau turut memberi jaminan, akan membincangkan isu PRU-15 dengan barisan kepimpinan parti, seterusnya ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum dibawa ke Jemaah Kabinet.- MalaysiaGazette