Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Akar umbi UMNO diingatkan UMNO akan berdepan kesukaran sekiranya pembangkang bangkit dan bergabung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberi peringatan itu berkata, walaupun realitinya sukar berlaku namun segala-galanya tidak mustahil dalam politik.

Hasrat itu dinyatakan oleh Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Baru semalam telah pun disebut oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa mereka akan cuba untuk bergabung sama-sama seperti pembangkang.

“Jangan kita tunggu lama (PRU-15). Sampai nanti dia bergabung susah juga kita,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL)  hari ini.

Mohamad berkata, meskipun Barisan Nasional menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor dengan cemerlang namun jika diamati ia berlaku kerana pembangkang berpecah.

“Kalau mereka bergabung, walaupun susah rasanya untuk mereka bergabung tetapi dalam politik semua boleh jadi.

“Jadi, jangan kita tunggu mereka bangun dan bergabung dan memerintah kita sebagai satu pasukan yang besar,” tambahnya merujuk kepada perlunya diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 seberapa segera. – MalaysiaGazette