Wakil pembahas Negeri Terengganu, Bazlan Abd Rahman berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO Terengganu menggesa supaya Muafakat Nasional (MN) ditamatkan dengan segera.

Perwakilannya, Bazlan Abd Rahman berkata, jalinan kerjasama antara dua parti berkenaan kini hanya menjadi sebutan apabila Pas dilihat tidak lagi mahu memperkukuhkan MN.

Malah katanya lagi,  pemimpin parti berkenaan akhir-akhir ini mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis apabila menganggap UMNO sebagai penyebab keretakan MN.

“Hari ini, setelah beberapa kali pentadbiran negara bertukar pucuk pimpinan, kelihatannya Pas dilihat sudah tidak lagi bernafsu untuk terus bersama-sama memperkuatkan MN. Tidak seperti pada hari bersejarah kepada umat Islam negara ini apabila Pas dan UMNO menandatangi Piagam MN pada 14 September 2019 dengan pelukan erat dan juraian air mata pemimpi dan penyokong.

“Pemimpin Pas akhir-akhir ini bersifat prejudis seolah-olah kita yang menyebabkan retaknya MN. Manakala kecurangan dan tamak haloba mereka cuba mendapat keuntungan melalui PN tidak pula diinsafi sebagai punca masalah dalam MN,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di sini hari ini.

Beliau turut mendakwa, Pas Terengganu tidak mengiktiraf keberadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO sebagai rakan seperjuangan MN sepanjang dua tahun.

Menurut Bazlan, Pas di negeri berkenaan mewujudkan pentadbiran sendiri di kawasan yang telah diwakili oleh wakil rakyat UMNO.

“Sepanjang dua tahun melayari bahtera MN di Terengganu, tiada cerminan sebenar terjemahan muafakat yahg dapat
ditunjukkan. Inilah sikap sebenar mereka, tiada pun hasrat untuk benar-benar menginsafi kesilapan yang lalu.

“Di setiap kawasan DUN yang diwakili UMNO, di situlah juga Pas mewujudkan pentadbirannya sendiri untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Jika sudah bermuafakat, apa perlunya lagi wujud satu pentadbiran lain? Apakah kedudukan wakil rakyat UMNO, tidak diiktiraf sebagai pemimpin?” soalnya.

Sehubungan itu Bazlan berkata, jalan penyelesaian adalah memutuskan hubungan politik bersama dengan Pas.

“Untuk apa kita terus menyimpan kudis yang akan menjadi barah? Jika sudah tahu penyakit ini mudarat, kenapa masih berlengah untuk berubat?

“Ubat mujarab ialah memutuskan hubungan politik dengan Pas. Tamatkan MN dengan segera. Bahkan itu yang di tunggu oleh Pas sendiri.

“Jadi kenapa perlu kita takut? Pinggan tak retak, nasi tak dingin. Orang tak hendak kita pun tak ingin,” tambah Bazlan.-MalaysiaGazette