Timbalan Ketua Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faez Mohamed Aris empena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 19 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Cadangan supaya dibina sekolah politik bagi menarik sokongan golongan muda meminati UMNO merupakan satu perkara penting dan sangat bertepatan.

Timbalan Ketua Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berpendapat, sekolah politik merupakan satu indikator yang boleh digunakan untuk mendidik golongan muda terhadap politik.

Katanya, pembinaan sekolah politik tidak bermaksud ia digunakan hanya sekadar untuk tujuan politik semata-mata sebaliknya, ia juga boleh digunakan untuk tujuan akademik yang lain.

“Kita membina satu sekolah dan fokusnya mungkin ia boleh dijadikan subjek dalam pelajaran yang mana ada kepentingan politik.

“…bila kepentingan politik dan ia salah satu subjek ia boleh dilihat dari pelbagai aspek, ada ekonomi ada kehidupan…walaupun dalam kehidupan rumahtangga pun kita banyak berpolitik dan dalam kehidupaan, jadi perlu diberikan didikan dan kesedaran agar mereka (golongan muda) tidak salah memilih,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Terdahulu, Wakil Perak, Datuk Azhar Ahmad ketika membahaskan ucapan Presiden Pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 hari ini berkata, UMNO perlu segera mewujudkan sekolah politik bagi menarik sokongan golongan muda meminati parti itu.

Katanya, orang muda perlu diajar berpolitik agar mereka dapat memahami erti perjuangan pada masa depan.

Politik, katanya, merupakan cara bagaimana menguruskan kehidupan sebagaimana yang pernah diperkatakan ahli falsafah, Socrates. – MalaysiaGazette

UMNO perlu segera wujudkan sekolah politik – Azhar