Rina Harun merasmikan Hospital Bersalin dan Kanak-Kanak Pusrawi Kota Damansara, Kuala Lumpur.

PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengadakan libat urus dengan kementerian dan agensi yang berkaitan untuk melaksanakan pembekuan akaun suami yang tidak membayar nafkah kepada bekas isteri.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tindakan tersebut akan membela ibu tunggal dan anaknya untuk meneruskan kehidupan.

“Saya kira itu satu pengumuman yang disambut baik oleh wanita kerana terdapat banyak kes apabila ramai suami tidak bayar nafkah kepada bekas isteri mereka.

“Kebanyakan kes apabila telah mendapat perintah mahkamah (bayar nafkah isteri) namun cara pembayaran daripada suami itu bergantung pada kedudukan diri dia.

“Jadi apabila satu pengumuman perintah mahkamah menyusul (bayar nafkah), maka institusi kewangan akan bekukan akaun suami dan bayar terus kepada bekas isterinya,” katanya selepas merasmikan Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi, di Kota Damansara, dekat sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, akaun bekas suami yang gagal membayar nafkah akan dibekukan dan tindakan itu dibuat untuk memastikan nasib wanita mendapat pembelaan yang sepatutnya.

Kata Perdana Menteri, bank akan diarahkan secara terus (automatik) menolak wang daripada akaun bekas suami dengan jumlah yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Menurut Rina, selain daripada kementeriannya, terdapat beberapa kementerian dan agensi lain yang terlibat jika tindakan membekukan akaun bekas suami mahu dilaksanakan kerana kerana melibatkan mahkamah dan tuntutan.

“Kita sebagai kementerian boleh bantu untuk menyelaras untuk menyampaikan mereka yang menjadi mangsa atau yang sepatutnya mendapat hak mereka akan diberikan keadilan sewajarnya,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya merancang untuk melaksanakan cadang tersebut pada tahun ini selepas perbincangan dengan kementerian dan agensi berkaitan dilakukan. -MalaysiaGazette