Bukit Merah juga dikenali sebagai Bukit Buloh terletak di Padang Piol, Jerantut, Pahang

JERANTUT – Bukit Merah juga dikenali Bukit Buloh di Padang Piol, Jerantut mempunyai keunikan tersendiri sejak belasan tahun lalu apabila mula diterokai oleh pendaki yang cintakan kehijauan alam.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, keunikan Bukit Merah terserlah dengan kewujudan pokok Kelat Gelam atau nama saintifiknya, Eugenia Cerina berada di puncak bukit itu.

Katanya, keunikan pokok dan lantai hutan berwarna kemerahan adalah fenomena alam semula jadi yang sangat menakjubkan dijumpai di Bukit Merah pada ketinggian 371 meter daripada paras laut.

“Laluan perjalanan bermula dari ladang kelapa sawit, laluan berbatu dan denai hutan sebelum sampai ke puncak dan anggaran perjalanan mendaki mengambil masa 40 minit hingga sejam sejauh 1.6 kilometer.

“Pokok Kelat Gelam ini tumbuh semulajadi dan boleh dijumpai di tepi pantai, pinggir sungai dan hutan sekunder pada ketinggian sekitar 300 meter berbukit rendah yang lembab,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Menurutnya, kulit Pokok Kelat Gelam seakan-akan mengelupas nipis semacam kertas dan ia juga boleh dijadikan medium untuk menghidup api.

Jelas Kamaruddin, pokok gelam mudah tumbuh dan mengambil masa tujuh hingga 15 tahun untuk matang dan boleh ditanam sebagai pokok landskap di halaman.

“Walau bagaimanapun menurut pakar, batang pokok dengan warna kemerahan itu adalah bergantung kepada keadaan bentuk muka bumi, tanah dan hutan sekitar.

“Pokok Kelat Gelam mampu membina gelang pertumbuhan (growth ring) tapi tiada kajian secara saintifik dijalankan kerana pokok ini tiada nilai dari potensi kayu ditebang untuk balak,” ujarnya. – MalaysiaGazette