Ops samseng jalanan ke atas penunggang motosikal dijalankan Trafik KL sejak Jumaat lalu. Foto: JSPTKL

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) menahan seramai 25 individu atas kesalahan lalu lintas dalam operasi yang diadakan di ibu negara malam tadi.

Pada masa sama, polis turut mengeluarkan 660 saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan sama yang dilaksanakan sejak Jumaat lalu.

Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, dalam operasi sama sebanyak 38 buah motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 .

“Operasi yang diadakan selama tiga hari itu dilakukan di beberapa laluan utama termasuk di Jalan Pahang, Jalan Kuching, Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

“Malah, tujuh remaja berusia 16 hingga 18 tahun disyaki samseng jalanan turut ditahan kerana menunggang motosikal dalam keadaan berbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, ‘superman’ serta bersaing.

“Tangkapan 13 orang lelaki yang berumur dalam lingkungan 28 hingga 38 tahun turut berjaya dilakukan di bawah Sek 45(A) APJ (Akta Pengangkutan Jalan) 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara remaja yang ditahan menunggang motosikal dengan aksi merbahaya di atas jalan dalam ops trafik di ibu negara.

Tambah beliau, polis turut menahan seorang lelaki berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori kerana menunggang motosikal curi dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, dalam operasi sama, seramai empat lelaki berusia dalam lingkungan 19 hingga 22 tahun ditahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran kenderaan.

“Trafik Kuala Lumpur akan mempertingkatkan operasi di hujung minggu untuk membanteras aktiviti samseng jalanan dan menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

“Kita tidak akan kompromi dengan samseng jalanan yang membawa risiko bahaya kepada pengguna lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette