Keadaan di lokasi nahas yang menyaksikan enam orang terbunuh dirempuh sebuah kereta. foto Twitter

BRUSSELS – Sekurang-kurangnya enam orang maut selepas sebuah kereta merempuh sekumpulan pengunjung karnival di selatan Belgium.

Insiden itu berlaku di bandar kecil Strépy-Bracquegnies.

Kereta itu dipandu dengan laju ke arah berpuluh-puluh orang yang sedang bersiap sedia untuk mengambil bahagian dalam perarakan tradisional pada pagi Ahad.

Kira-kira 40 orang cedera dan beberapa dalam keadaan serius, kata datuk bandar, Jacques Gobert.

“Terdapat kira-kira 150-200 orang yang mengikuti perarakan dan kereta itu tiba dari belakang lalu merempuh orang ramai sejauh 10 meter.

“Nahas ini bagaikan malapetaka negara,” katanya.

Keadaan sebenar serangan itu sedang disiasat, tetapi polis berkata kejadian ini bukan serangan pengganas.

“Ia adalah satu kemalangan, satu tragis. Kereta itu melanggar kumpulan itu dan cuba meneruskannya tetapi ia segera dihalang oleh polis,” kata jurucakap polis Cristina Ianoco kepada BBC.

Pemandu dan penumpang di dalam kereta telah ditahan namun identiti mereka belum didedahkan.

Polis menafikan laporan awal dalam beberapa media Belgium bahawa nahas yang berlaku kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan itu berpunca daripada kereta polis yang laju kerana sedang mengejar. – BBC (https://www.bbc.com/news/world-europe-60811591)