Hakimah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil serius isu video sedutan drama ‘Perempuan Itu’ yang tular di media sosial.

Berdasarkan penelitian, JAKIM menentang keras penyiaran program yang mempamerkan perbuatan dilarang Islam dengan aksi dan adegan tidak bermoral, melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff menegaskan, drama seumpama itu tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa, apatah lagi di bulan Ramadan.

“JAKIM telah menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan tegas diambil.

“Kita menggesa semua pihak sama ada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan pelakon lebih cakna serta mengelakkan isu sedemikian kerana akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja.

“Budaya ini atau mana-mana norma yang bersalahan dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Drama ‘Perempuan Itu’ dilanda kontroversi apabila pelakon Zul Ariffin berkongsi klip adegan panas yang dilakonkan dia bersama pelakon baru, Siti Hariesa dalam drama tersebut.

Menurut laporan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, kemungkinan drama itu tidak akan ditayangkan di televisyen sekiranya pihak produksi gagal memberikan laporan bertulis berkenaan insiden yang berlaku.

Tambahnya, kerajaan tidak akan membenarkan tayangan tersebut yang dijangka bersiaran pada Ramadan ini sekiranya laporan diberikan tidak munasabah.

Malah, semua stesen televisyen perlu menghormati bulan Ramadan dan tidak boleh menyiarkan kandungan yang kurang bersesuaian dengan bulan mulia itu.

Mengulas lanjut, Hakimah berkata, JAKIM tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan dan akan sentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ia tidak berulang. – MalaysiaGazette