Mohd Dendera Billah Zamzuri. Foto SYAFIQ AMBAK, 04 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam membidas sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan yang didakwa tidak mempedulikan titah Sultan Selangor yang mahu wakil rakyat memberi tumpuan kepada isu rakyat termasuk bencana banjir.

Ketuanya, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, lebih dikesali apabila wakil rakyat Parti Amanah Negara (Amanah) itu lebih gemar memilih untuk berpolitik berbanding berbahas mengenai kepentingan rakyat di dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

“Mungkin ADUN Taman Templer yang begitu bingit ucapan perbahasannya tidak mendengar langsung apa yang dititahkan oleh DYMM Sultan Selangor.

“Titah baginda itu jelas wakil rakyat perlu peka dan maklum mengenai isu-isu rakyat Selangor, terutamanya isu banjir yang berlaku baru-baru ini.

“Amat memalukan sekiranya titah Sultan Selangor yang begitu terperinci tidak difahami (atau mungkin tidak dipedulikan) oleh seorang wakil rakyat di Selangor,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Minggu lalu, dalam ucapan perasmian DUN Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan Kerajaan Negeri agar memberi penekanan lebih serius terhadap usaha-usaha menangani masalah banjir dan banjir kilat yang semakin kerap berlaku di negeri itu.

“Kaedah terbaik menangani banjir perlu dikenalpasti segera termasuk mendapatkan khidmat kepakaran serta teknologi baharu dari dalam dan luar negara.

“Sepatutnya, sejak berlaku tragedi banjir besar di Selangor pada 1971, kita telah belajar dan memperoleh teladan bagaimana untuk menyediakan pelan tindakan sebelum dan selepas banjir,” titah baginda.

Dendera Billah juga tidak menolak kemungkinan sikap dan sifat ADUN Taman Templer itu menunjukkan betapa jeleknya pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam tadbir urus negeri ini.

“Sikap yang ditonjolkan oleh pemimpin Kerajaan Negeri sepatutnya lebih matang bukanlah sentiasa berpolitik walaupun di dalam sidang DUN.

“Sesi sidang DUN Selangor ini perlulah digunakan dengan sebaiknya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette