Azmizam Zaman Huri

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menggesa Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM100 juta setahun kepada Kerajaan Selangor bagi tujuan menyelenggara jalan raya.

Gesaan itu yang dikemukakan dalam bentuk usul pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, berdasarkan jumlah kutipan cukai oleh Kastam Pelabuhan Klang berjumlah RM11.1 bilion setahun.

“Jumlah kutipan cukai ini melebihi daripada pendapatan Kerajaan Selangor setiap tahun.

“Jadi, apalah kiranya kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kerjaya memperuntukan 0.9 peratus daripada jumlah kutipan cukai itu diberikan kepada Selangor.

“Peruntukan yang kita minta ni bukan nak digunakan untuk tujuan lain, kita nak guna untuk selenggara jalan raya dan baik pulih jalan kampung,” katanya pada sesi perbahasan usul di sini, petang ini.

Azmizam turut mendedahkan hasil cukai yang dikutip oleh West Port menerusi Cukai Operator Terminal yang berjumlah RM231.3 juta dan North Port pula mengutip RM52.6 juta setahun.

Ini katanya, belum dicampur dengan kutipan cukai import dan eksport oleh Kastam Pelabuhan Klang yang berjumlah RM11.1 bilion setahun.

“Sakitnya hati.. sebab saya tengok Pelabuhan Klang kutip cukai cukup tinggi, tetapi tidak dikembalikan kepada rakyat.

“Sedangkan jalan hendak ke Pelabuhan Klang rosak teruk. Kemalangan setiap hari berlaku, malah ada melibatkan kematian. Ini berpunca dari struktur jalan yang tidak diselenggara.

“Saya nak mintalah, hanya 0.9 peratus atau RM100 juta sahaja duit cukai kerajaan Persekutuan ini dikembalikan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor untuk selenggara jalan sekitar Pelabuhan Klang,” katanya.

Rakyat pula, katanya, tidak faham, jika berlaku kemalangan, mereka menyalahkan kerajaan negeri kerana tidak selenggara jalan dengan baik, sedangkan duit banyak. – MalaysiaGazette