Mohd Khairuddin Othman

SHAH ALAM – Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor diberitahu, sebanyak 1,910 kes melibatkan penderaan dan pengabaian dilaporkan di negeri itu dalam tempoh setahun dari Mac 2020 hingga Mac 2021.

Exco Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman memberitahu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor melaporkan kes penderaan fizikal sebanyak 686 kes, seksual (606), emosi (63) dan pengabaian (555).

Katanya, bagi jenayah indeks gejala sosial pula polis Selangor merekodkan 13,359 kes dalam tempoh pandemik Covid-19 bermula 2020 hingga 2021.

Mengikut statistik bagi kes jenayah kekerasan dalam tempoh itu ialah 4,633 kes iaitu bunuh 80 kes, rogol (364), samun berkawan bersenjata api dan samun bersenjata api masing-masing satu kes, samun berkawan tanpa bersenjata api (1,798), samun tanpa bersenjata api (1,233) dan mencederakan (1,156).

“Jenayah harta benda pula ialah kes curi sebanyak 4,122 kes, curi kereta (1,362), curi motosikal (4,123), curi van/lori/jentera berat (359) dan pecah rumah 3,393 kes,” kata dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Mulut di sidang DUN di sini, hari ini.

Mengenai masalah kekeluargaan dan kesihatan mental, Mohd Khairuddin memberitahu, berdasarkan analisis data Pusat Kaunseling Selangor (PKS), terdapat peningkatan permintaan sesi kaunseling sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Kata beliau, permintaan itu lebih kepada sesi secara atas talian.

Antara aduan diterima ialah keretakan hubungan suami isteri dan anak-anak serta psikopatologi iaitu isu berkaitan kesihatan mental, psikologi abnormal melibatkan tekanan, kemurungan, kebimbangan dan sebagainya.

“Data e-sharing menunjukkan peningkatan jumlah klien yang diperolehi melalui sistem e-psy selangor ialah 86 kes pada 2019, meningkat kepada 251 pada 2020 dan menurun 214 pada 2021,” katanya. – MalaysiaGazette