KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa komited bersama dalam memantapkan pengurusan sumber manusia sektor awam bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan sentiasa responsif kepada rakyat.

Pengambilan khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) merupakan salah satu contoh pendekatan segera yang responsif terhadap keperluan rakyat oleh kedua-dua agensi bagi memastikan ia diselesaikan dengan jayanya.

Pada Jun 2021 JPA telah meluluskan permohonan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi urusan pengambilan khas sebanyak 18,702 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) secara one-off.

Kelulusan segera yang diberikan oleh JPA kepada KPM ini adalah untuk membolehkan pengambilan dibuat bagi menangani kekurangan guru di sekolah rendah dan sekolah menengah khususnya dalam mata pelajaran tertentu.

JPA berkata, pada Disember 2021 telah meluluskan permohonan kelonggaran syarat pukal skim perkhidmatan untuk pelantikan secara kontrak bagi 4,266 calon guru kontrak di bawah urusan pengambilan 18,702 PPP.

Pelaksanaan segera ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kecekapan sistem penyampaian menerusi pengisian jawatan secara optimum.

Pada perkembangan lain, mengenai kekosongan 11,111 perjawatan dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mekanisme penempatan dan latihan yang fleksibel serta mempunyai nilai tambah menerusi penggunaan teknologi dapat membantu kecekapan pengisian kekosongan perjawatan yang ada.

Justeru, JPA akan membuat pemantauan berterusan menerusi audit perjawatan bersama agensi untuk memastikan urusan pengambilan dapat dilaksanakan dengan segera bagi mengisi jawatan-jawatan yang telah diluluskan oleh agensi pusat.

Perundingan pengoptimuman sumber manusia yang berfokuskan kepada landskap baharu organisasi awam dan perkhidmatan awam kalis masa hadapan akan sentiasa dilaksanakan dari semasa ke semasa sejajar dengan keperluan dan kemampuan kewangan negara.

Usaha dan perancangan ini dapat menyegar semula anggota perkhidmatan awam dan bergerak bersama ke hadapan bagi mencapai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) serta mendukung aspirasi Keluarga Malaysia. – MalaysiaGazette