Murid, Nuh Zill Qayyim Zulfadli Adhwa menyusun beg di luar kelas bagi mematuhi SOP pada hari pertama pembukaan sesi persekolahan tadika berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Tadika Tunas Ilmu, Lembah Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 01 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mengakui beg berat merupakan isu kritikal dalam kalangan murid sekolah mendapati perkara tersebut masih belum dapat ditangani sepenuhnya dan sering menjadi keluhan masyarakat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, berdasarkan penelitian ke atas maklum balas yang diperoleh, isu beg berat adalah kritikal dalam kalangan murid sekolah rendah, khususnya murid Tahap 1, iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3.

Tambah beliau, pihaknya sentiasa komited untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam menangani isu beg berat murid yang telah berlarutan sekian lama.

“KPM telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan beg berat. Hasil daripada kajian yang dilaksanakan, KPM telah mengambil pelbagai tindakan bagi menangani isu berkenaan.

“Antaranya, mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2000: Penggunaan Buku Kerja Di Sekolah Rendah dan Surat Siaran Panduan Menangani Isu Beg Berat Murid di Sekolah pada tahun 2018,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Dewan Rakyat oleh Ahmad Fadhli Shaari (Ahli Parlimen Pasir Mas-Perikatan Nasional).

Ahmad Fadhli hari ini bertanyakan mengenai usaha KPM bagi menangani isu bebanan beg sekolah yang berat yang ditanggung oleh pelajar-pelajar khususnya di sekolah rendah.

Menurut Hang Soon, bagi mengatasi isu ini, KPM akan menyediakan lokar di sekolah rendah secara berfasa, melaksanakan jadual waktu yang mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai terutama aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

Malah katanya, buku latihan juga tidak melebihi dua buah bagi setiap mata pelajaran, hanya membenarkan buku aktiviti yang disediakan oleh KPM, penerbitan buku teks baharu dalam format digital, pendekatan PdP berpusat, malah turut menjalankan kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam dari aspek penyelarasan uniform sekolah. – MalaysiaGazette