Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan varian Omicron telah mula menggantikan varian Delta sebagai varian utama yang menular dalam kalangan penduduk di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Variant of Concern (VOC) Omicron terbahagi kepada tiga sub-lineage iaitu BA.1, BA.1.1, dan BA.2.

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga semalam, masih belum terdapat laporan mengenai kewujudan satu lagi sub-lineage iaitu BA.3 di negara ini.

“Kebimbangan terhadap sub-lineage BA.2 adalah kerana ia berkemungkinan mengakibatkan transmisi yang lebih tinggi berbanding dengan sub-lineage Omicron yang lain serta varian Delta.

“Di antara tiga sub-lineage varian Omicron yang menular, jumlah pelaporan sub-lineage BA.1.1 dan BA.2 dilihat semakin meningkat,” katanya dalam perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Jelas Noor Hisham, Omicron sub-lineage BA.1.1 telah meningkat daripada 38.3 peratus pada bulan Januari kepada 48.7 peratus pada Februari, namun menurun kepada 40.0 peratus pada bulan ini.

Tambah beliau, bagi tempoh yang sama iaitu 1 Mac hingga 17 Mac, varian Omicron BA.2 didapati telah meningkat kepada 27.1 peratus berbanding Januari dan Februari lalu di mana pelaporan untuk varian Omicron sub-lineage BA.2 masing-masing 0.9 peratus dan 2.7 peratus.

Sehubungan itu, Noor Hisham berkata, kenaikan mendadak sub-lineage BA.2 merupakan perkara yang perlu diambil perhatian.

“Situasi yang sama juga dilihat di beberapa negara seperti Denmark, India dan Nepal yang melaporkan varian utama virus SAR-CoV2 yang menular di negara mereka adalah varian Omicron sub-lineage BA.2.

“Justeru KKM menjangkakan besar kemungkinan varian Omicron sub-lineage BA.2 kelak akan menjadi varian yang dominan di Malaysia.

“Oleh itu, penduduk di negara ini perlu berwaspada dengan peningkatan penularan varian Omicron BA.2 dan pada masa yang sama kita juga perlu khuatir kepada penularan berpanjangan varian Delta yang diketahui berupaya mengakibatkan jangkitan yang lebih serius terutama di kalangan mereka yang tidak divaksinasi atau tidak menerima vaksin dos penggalak (booster),” ujarnya. – MalaysiaGazette