Lapan pelanggan dan dua pejalan kaki cedera selepas dirempuh kenderaan dalam insiden malam tadi di ibu negara. Gambar Sumber JSPTKL

KUALA LUMPUR – Pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabit dalam kemalangan di hadapan sebuah restoran di Jalan Klang Lama, di sini, semalam, dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kemalangan itu membabitkan tiga buah kenderaan, dua pejalan kaki dan lapan pelanggan yang sedang menjamu selera di restoran berkenaan kira-kira jam 8.30 malam tadi.

“Kemalangan itu berlaku ketika Honda HRV yang dipandu oleh seorang lelaki warga emas berusia 57 tahun berkenaan dari arah Petaling Jaya menghala ke pusat bandar.

“Sebaik tiba di lokasi, kenderaan yang dipandu lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar kereta jenis Lexus 2.5 yang diparkir menunggu di bahu kiri jalan sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kereta Honda HRV yang dipandu warga emas hilang kawalan dan merempuh kenderaan lain sehingga mencederakan 10 individu di hadapan restoran di jalan Klang Lama, malam tadi. JSPT KL

Menurut Sarifudin, pelanggaran itu mengakibatkan kereta Lexus terbabit bergerak ke hadapan dan melanggar sebuah kereta Perodua Axia yang diparkir di bahagian hadapan.

Akibat rempuhan itu, katanya, kereta Perodua Axia itu kemudian melanggar lapan pelanggan yang sedang makan di luar restoran itu dan dua pejalan kaki.

“Dalam kemalangan itu, pemandu Lexus dan lapan pelanggan restoran serta dua pejalan kaki mengalami kecederaan dan menerima rawatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Dua daripada 10 individu yang cedera dalam kemalangan itu mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat rapi di hospital.

“Pemandu Honda HRV itu telah ditahan polis dan dilibatkan dalam saringan awal kandungan alkohol sebelum mendapati had kandungan alkohol di dalam badan melebihi had ditetapkan.

“Pemandu terbabit sekarang sudah ditahan dan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-20719999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mengunjungi balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette