Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor akan mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada persidangan akan datang.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berikutan jumlah pengundi di negeri itu selepas Undi18 lulus secara automatik telah bertambah antara 4.6 juta hingga lima juta pengundi.

Pertambahan itu menyebabkan 19 daripada 56 kerusi DUN mempunyai bilangan pengundi antara 75,000 hingga 118,000 pengundi bagi satu kawasan.

“Kawasan yang paling tinggi jumlah pengundi termasuk Undi18 ialah DUN (Dewan Undangan Negeri) Kinrara seramai 118,000 pengundi diikuti Subang Jaya (109,000) dan Bukit Lanjan (106,000).

“Kawasan DUN yang mempunyai pertambahan pengundi sehingga 75,000 ke 88,000 ialah Batang Kali, Gombak Setia, Teratai, Semenyih, Kajang, Balakong, Sungai Rambai, Seri Serdang, Sri Setia, Kota Damansara, Kota Anggerik, Bandar Baru Klang, Pandamaran, Sentosa, Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Dengkil.

“Manakala DUN yang mempunyai minimum pengundi ialah Sungai Air Tawar seramai 19,000 dan Sekinchan 23,000 orang,” katanya pada sesi cadangan usul dan penangguhan sidang DUN Selangor di sini hari ini.

Justeru, Amirudin beranggapan jumlah yang terlalu tinggi dan rendah itu  menyukarkan kerajaan negeri mengatur peruntukan yang seimbang.

Oleh itu, katanya, agenda yang akan dibawanya pada sidang DUN akan datang yang memerlukan kelulusan dua per tiga sokongan ADUN ialah usaha atau cadangan untuk menambah kerusi DUN.

Kata beliau, sekiranya mendapat sokongan dua pertiga ADUN Selangor, ia akan dibawa ke Parlimen untuk diluluskan.

Amirudin membuat cadangan itu selepas dikunjungi rombongan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor yang memaklumkan mengenai kesan pertambahan Undi18 dan kesan undi secara automatik.

“Sehingga kini, jumlah pengundi berdaftar di Selangor adalah 3.66 juta dan jumlah pengundi dengan pendaftaran automatik setiap bulan pula mencecah lebih 89,000 orang.

“Bermakna, dalam tempoh 12 bulan dari sekarang, jumlah pengundi di Selangor akan mencecah lebih kurang 4.6 juta atau mungkin boleh mencecah sampai 5 juta sedangkan Selangor ketika ini mempunyai 56 kerusi.

“Oleh itu, lebih baik kita habiskan penggal ini (sehingga) tahun 2023 supaya keseimbangan ini dapat kita wujudkan dan jumlah kerusi ini dapat kita tambah, dan tanpa perlu kita buat PRU-15 dengan tergesa-gesa,” katanya. – MalaysiaGazette