Pegawai penyiasat kes, Inspektor Shawal menunjukkan dadah heroin yang dirampas polis dalam serbuan di daerah Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis membongkar makmal memproses pelbagai jenis dadah selepas menahan dua lelaki dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah Seberang Perai Tengah pada 17 Mac lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dua serbuan itu membawa kepada rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM650,777.

Jelas beliau, serbuan pertama pihak polis menahan seorang lelaki di sebuah rumah sebelum menemui 42 bungkusan dadah heroin seberat 18.5 kilogram dan dua ketulan dadah heroin base.

“Selain itu, kita juga menemui satu bungkusan berisi syabu, satu bungkusan serbuk kafein dan peralatan serta bahan kimia untuk memproses dadah heroin.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM650,777.

“Susulan itu, kita menyerbu lokasi kedua di daerah sama yang membawa kepada tangkapan suspek kedua yang juga ketua sindiket,” katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

Turut dirampas dalam kedua-dua serbuan ialah lima buah kenderaan, barangan kemas serta wang di dalam akaun bank yang bernilai RM269,617 secara keseluruhan.

Tambah Mohd Shuhaily, hasil siasatan mendapati suspek berusia 30 dan 41 tahun itu aktif dalam kegiatan haram itu sejak Julai tahun lalu dan dadah yang dihasilkan untuk pasaran tempatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek itu negatif dadah namun mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Mohd Shuhaily (tengah) melihat dadah yang dirampas pihaknya pada 17 Mac lalu.

“Kesemua dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 190,000 penagih dadah.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 24 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” kata Mohd Shuhaily. – MalaysiaGazette