Penduduk menggali kubur untuk mangsa yang terbunuh semasa konflik Ukraine-Rusia di sebatang jalan di bandar pelabuhan selatan yang dikepung Mariupol, Ukraine 20 Mac 2022. foto Reuters

LVIV – Ukraine menolak gesaan Rusia untuk menyerahkan bandar pelabuhan Mariupol, yang mana penduduk-penduduknya sudah dikepung dengan bekalan makanan, air dan bekalan elektrik yang terhada.

Pertempuran sengit masih belum menampakkan tanda-tanda reda.

”Tiada yang diboleh dipersoalkan tentang sebarang penyerahan, meletakkan senjata. Kami sudah menegaskan kepada pihak Rusia mengenai perkara ini,” portal berita Ukrainska Pravda memetik Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk sebagai berkata awal pada hari Isnin.

Rusia sebelum ini menyeru tentera Ukraine di Mariupol untuk meletakkan senjata mereka dan menyatakan bahawa “malapetaka kemanusiaan yang dahsyat” sedang berlaku.

Mereka yang menyerah diri telah dijamin laluan keluar selamat dari bandar dan koridor kemanusiaan akan dibuka mulai 10 pagi waktu Moscow pada hari Isnin.

Mariupol telah mengalami beberapa siri pengeboman paling teruk sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu.

Ramai daripada 400,000 orang penduduknya masih terperangkap.

Dalam pada itu, pertempuran berterusan di dalam bandar pada hari Ahad, gabenor wilayah Pavlo Kyrylenko berkata, tanpa mengulas lanjut.

Menurut Vereshchuk, lebih 7,000 orang dipindahkan dari bandar-bandar Ukraine melalui koridor kemanusiaan pada Ahad dengan lebih separuh dari Mariupol.

Beliau berkata, kerajaan merancang untuk menghantar hampir 50 bas ke sana pada Isnin untuk pemindahan selanjutnya.

Rusia dan Ukraine telah membuat perjanjian sepanjang perang di koridor kemanusiaan untuk memindahkan orang awam, tetapi mereka saling tuduh-menuduh kerana melakukan perlanggaran.

Dalam rayuan terbarunya untuk mendapatkan bantuan dari luar negara, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy bercakap kepada Parlimen Israel melalui pautan video pada hari Ahad dan mempersoalkan keengganan Israel untuk menjual sistem pertahanan peluru berpandu Iron Dome kepada Ukraine.

“Semua orang tahu bahawa sistem pertahanan peluru berpandu anda adalah yang terbaik… dan anda pasti boleh membantu rakyat kami, menyelamatkan nyawa rakyat Ukraine, Yahudi Ukraine,” kata Zelenskiy, yang merupakan keturunan Yahudi.

Bercakap dalam rayuan video hariannya kepada rakyat Ukraine, Zelenskiy kemudiannya mengalu-alukan usaha pengantaraan Perdana Menteri Israel Naftali Bennett, yang telah mengadakan banyak panggilan dengannya dan Presiden Rusia Vladimir Putin. – Reuters (https://www.reuters.com/world/europe/mariupol-says-thousands-deported-besieged-ukrainian-city-2022-03-20/)