Amirudin Shari

SHAH ALAM – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng. Suee Lim diberi kuasa sepenuhnya, sama ada perlu persidangan DUN diadakan secara atas talian jika berlaku sebarang kecemasan.

Perkara itu dijelaskan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berikutan ada usul daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) agar persidangan diadakan secara atas talian sekiranya ada antara mereka positif Covid-19 atau sibuk di lokasi membantu mangsa banjir seperti berlaku pada akhir Disember lalu.

“Usul ini sebenarnya diluluskan pada persidangan DUN yang lepas, walaupun telah melalui beberapa proses, kita belum lagi mempertimbang dan memasukkan dalam Jadual C, yang mana untuk membolehkan kita menetapkan secara jitu atau terperinci.

“Oleh kerana ini (cadangan bersidang atas talian) perkara baru dan dari semasa ke semasa (berlaku kejadian luar jangkaan), saya rasa kita terbuka untuk meminda semula atau menambahbaik semula (sama ada sesuai atau tidak diadakan secara atas talian).

“Tetapi, pada tahap ini saya percaya kita telah membuka ruang satu mekanisme dan paradigma baru persidangan yang boleh dianjurkan dalam talian,” katanya pada sesi menjawab usul supaya persidangan atas talian diadakan dalam tempoh darurat atau kecemasan.

Menurut Amirudin, perkara itu bukan asing kerana negara lain didapati mengadakan persidangan dalam talian dan tidak mengganggu tugas, penetapan atau tanggungjawab selaku wakil rakyat untuk dilaksanakan walaupun dalam keadaan kecemasan, darurat dan sebagainya.

“Perkara itu juga boleh diberikan keputusan oleh Speaker yang boleh pertimbangkan supaya tempat (persidangan) itu boleh ditetapkan.

“Speaker boleh usul dan cadangkan tempat yang sesuai. Sebagai contoh, boleh tetapkan di Pejabat Tanah dan Daerah kerana dalam masa sama perlu menjamin akses atau sumber ketersambungan internet yang konsisten.

“Kalau ianya diadakan di rumah, nanti bunyi (suara) anak, bunyi emak, bunyi lesung, bunyi ibu, maka tak jadi bersidang,” katanya disambung gelak ketawa ADUN.

Oleh itu, kata beliau, Speaker boleh ambil pertimbangan itu kerana beliau adalah punca kuasa untuk memanggil atau mengusulkan persidangan dalam talian. – MalaysiaGazette