Pasangan kembar siam pramatang, Daelan Hope Marshall dan Daevyn Hope Marshall, - FOTO KKM

KUALA LUMPUR – Kejayaan pasukan pembedahan Hospital Tunku Azizah (HTA) di sini memisahkan pasangan kembar siam pramatang, Daelan Hope Marshall dan Daevyn Hope Marshall mendapat pujian Menteri Kesihatan.

Khairy Jamaluddin mengucapkan tahniah atas kejayaan yang dilakukan pada Sabtu lalu.

Menerusi catatan di Facebooknya, beliau berkata, ia merupakan satu prosedur berisiko tinggi yang berjaya dilakukan oleh HTA sejak ia dibuka.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan pembedahan diketuai Pakar Perunding Pembedahan Kanak-Kanak HTA, Datuk Dr Zakaria Zahari, pakar -pakar bius dan kesemua jururawat serta pembantu perubatan yang terlibat dalam pembedahan selama 66 minit itu.

“Ini merupakan pembedahan kembar siam ketiga yang telah berjaya dilaksanakan oleh HTA sejak ia dibuka,” katanya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ibu bapa bayi berkenaan iaitu Deborah Anne M. Vincent Paul serta David Marshall atas kelahiran pasangan kembar mereka.

Terdahulu, Khairy bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah hadir melawat Daelan dan Daevyn serta ibu bapa mereka di HTA dan turut berkongsi gambar lawatan itu.

Pada 19 Mac lalu, pasangan kembar dilaksanakan dengan jayanya melibatkan 13 doktor pakar termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara, serta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.

Bayi kembar itu telah dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh pada usia 33 minggu kandungan sebelum dirujuk kepada HTA.

Akibat komplikasi extrauterine twin to twin transfusion, pakar-pakar HTA dan HRP memutuskan supaya kedua-dua bayi lelaki ini dipisahkan pada usia mereka 17 hari. – MalaysiaGazette