Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta dalam kejadian di Persiaran Antara Gapi, Hulu Selangor pagi tadi. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut manakala adiknya cedera selepas motosikal yang ditunggang mereka merempuh sebuah kereta dalam satu kejadian di Persiaran Antara Gapi, Hulu Selangor, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback yang dipandu seorang warga emas berusia 60 tahun dengan sebuah motosikal Yamaha Ego yang ditunggang mangsa berusia 27 tahun bersama adik perempuannya.

Menurut beliau, kejadian sekitar pukul 11.30 pagi itu dipercayai berlaku semasa pemandu kereta sedang dalam perjalanan dari Taman Desa Kaloi, Ulu Yam menghala ke Serendah.

“Ketika tiba di lokasi, penunggang motosikal yang keluar dari simpang sebelah kanan jalan telah melanggar kenderaan tersebut di bahagian hadapan sebelah kanan pemandu.

“Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk pada bahagian kepala dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Arsad, pembonceng motosikal berkenaan turut dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan supaya menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette