Pengarang, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia : Tanding, Pilih, Menang, Tadbir di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Negara perlu mewujudkan institusi latihan untuk mendidik dan mendedahkan masyarakat kepada pengetahuan sivik, khasnya berkenaan aspek-aspek kewarganegaraan.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman berkata, institusi sedemikian akan menghasilkan masyarakat celik ilmu tentang hak sebagai warganegara.

“Kita tak mahu orang yang layak mengundi ini tertinggal belakang hanya kerana dia tidak menyedari haknya sebagai pemilih. Ini boleh mengakibatkan turunnya peratusan kehadiran pemilih dan ia akan menjejaskan kedudukan demokrasi ini dalam pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran buku bertajuk Pilihan Raya Demokrasi Malaysia : Tanding, Pilih, Menang, Tadbir di sini, hari ini.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyempurnakan pelancaran buku setebal 760 muka surat terbitan Universiti Malaya itu.

Pengarang, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia : Tanding, Pilih, Menang, Tadbir di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2022.

Menurut Abdul Rashid, beberapa pihak pernah menyuarakan kebimbangan mengenai kadar peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, baru-baru ini.

“Kita tidak ada masalah mengenai perjalanan pilihan raya. Tetapi masalah sekarang adalah masalah ‘turnout voters’. Dulu negara mencapai antara 75 hingga 85 peratus ‘turnout voters’. Tetapi sekarang nampaknya, dalam pilihan raya-pilihan raya kecil yang terbaru ini mencecah hanya 50 peratus,” jelasnya.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan memegang Buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia : Tanding, Pilih, Menang, Tadbir selepas melancarkannya di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2022.

Menurut Ab Rashid, negara harus melihat perkembangan kadar peratusan keluar mengundi yang rendah itu sebagai masalah yang perlu ditangani segera.

Beliau yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam SPR berkata, langkah paling mudah untuk mn=engatasinya iada dengan memperkenal ‘compulsary voting’ (pengundian secara wajib).

Bagaimanapun, tambahnya, ia merupakan langkah bersifat provokatif dan pasti akan menimbulkan dialog selain pertembungan pendapat.

Abdul Rashid berkata, antara faktor lain yang menyumbang kepada penurunan kadar keluar mengundi pada pilihan raya adalah masalah alamat tempat tinggal tidak tepat yang masih belusi diselesaikan lagi.

“Justeru, kerajaan dicadangkan untuk mewujudkan suatu jawatankuasa untuk menangani masalah ketiadaan alamat terutamanya bagi kawasan pedalaman atau luar bandar,” ujarnya. – MalaysiaGazette