Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Malaysia, Riad Asmat (kanan) menyampaikan replika kapal terbang kepada Sarvysswarrann (tengah) pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Sempadan Negara Dalam Industri Penerbangan AirAsia di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 MAC 2022.

SEPANG – AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), anak syarikat penerbangan di bawah Capital A Bhd sedia meningkatkan kapasiti pesawat susulan pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, Bo Lingam berkata, kumpulan menjangkakan peningkatan kapasiti operasi kepada 90 pesawat menjelang akhir tahun ini di Malaysia.
Menurut beliau, kapasiti turut bertambah di Thailand sebanyak 40 pesawat, Filipina (20 pesawat) dan Indonesia adalah 20 pesawat.

“Jumlah pesawat beroperasi adalah sebanyak 45 dengan 60 peratus digunakan untuk penerbangan domestik manakala 40 peratus untuk penerbangan antarabangsa ketika ini di Malaysia.

“Berdasarkan unjuran akhir tahun itu juga, jumlah penggunaan pesawat untuk penerbangan antarabangsa akan meningkat kepada 45 peratus,” katanya selepas taklimat media AAAGL di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Peta laluan baharu Air Asia pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Sempadan Negara Dalam Industri Penerbangan AirAsia di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 MAC 2022.

Jelas beliau, operasi penerbangan domestik seluruh kumpulan juga semakin rancak menerusi pelancaran empat laluan domestik baharu di Malaysia dari Kuching ke Langkawi, Pulau Pinang ke Sibu, Johor Bahru ke Bintulu dan Kota Kinabalu ke Kuala Terengganu, baru-baru ini.

AAAGL juga, tambahnya, yakin dengan perkembangan sama di peringkat serantau untuk perkhidmatan domestik dan antarabangsa di Thailand, Filipina dan Indonesia.

“AirAsia akan terus membuka laluan baharu selaras dengan permintaan. Perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat apabila sempadan negara lain dibuka semula secara beransur-ansur,” katanya.

Bo menambah, perkhidmatan baharu akan diumumkan dalam masa terdekat apabila sempadan negara-negara lain dibuka semula secara beransur-ansur.

Katanya, walaupun perkhidmatan domestik di seluruh kumpulan telah meningkat sebanyak 156 peratus dalam beberapa bulan kebelakangan ini disebabkan oleh permintaan pengguna yang ketara.

“Sebanyak disumbang 50 peratus oleh penumpang antarabangsa dan kami menjangkakan untuk kembali kepada tahap pra-Covid sepenuhnya atau malahan lebih tinggi lagi menjelang penghujung tahun ini,” katanya. – MalaysiaGazette