Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Malaysia, Riad Asmat ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Sempadan Negara Dalam Industri Penerbangan AirAsia di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 MAC 2022.

SEPANG – AirAsia Malaysia memberi jaminan keselamatan penumpang sebagai keutamaan syarikat penerbangan tambang murah itu bagi menyediakan kualiti perkhidmatan bertaraf dunia.

Ia menerusi komitmen mematuhi peraturan dan prosedur keselamatan ketat apabila sempadan negara dibuka semula pada 1 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, ketika ini pihaknya telah bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan pelbagai langkah dan inovasi bagi memastikan semua tetamu AirAsia boleh melakukan perjalanan dengan selamat melalui langkah keselamatan dan kesihatan yang mantap.

Pihaknya turut mengingatkan penumpang untuk terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan sepanjang terbang bersama syarikat itu.

“AirAsia kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan di bawah langkah kesihatan dan keselamatan yang ketat. Satu pencapaian besar bagi AirAsia apabila 95 peratus daripada keseluruhan penumpang kini telah beralih untuk mendaftar masuk secara kendiri melalui Airasia Super App dan laman web.

“Ia satu inisiatif yang diwajibkan atas semua penumpang semasa kemuncak pandemik Covid-19 pada tahun lalu dan akan terus menjadi sebahagian daripada usaha AirAsia untuk mengukuhkan lagi pelan mitigasi Covid-19 melalui operasi tanpa sentuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat media AirAsia Aviation Group Limited (AAAGL), anak syarikat penerbangan di bawah Capital A Bhd di sini hari ini.

Turut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL, Bo Lingam.

Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Malaysia, Riad Asmat bercakap pada sidang media selepasselesai Majlis Perasmian Pembukaan Semula Sempadan Negara Dalam Industri Penerbangan AirAsia di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 MAC 2022.

Riad menambah, untuk meminimumkan sentuhan fizikal dan mengurangkan tempoh untu prosedur di lapangan terbang, penjumpang AirAsia digalakkan untuk mendaftar masuk kendiri secara dalam talian melalui airasia Super App dan menggunakan kemudahan daftar masuk bagasi automatik.

Menurut beliau, bermula 1 April ini, hanya kumpulan penumpang tertentu sahaja akan diterima untuk daftar masuk melalui kaunter antaranya warga emas berusia 70 tahun ke atas, tetamu kurang upaya yang memegang kad OKU yang sah, tetamu perseorangan bawah umur iaitu 12-16 tahun, tempahan berkumpulan untuk 10 tetamu atau lebih dan tetamu penerbangan sewa khas.

“Penggunaan Airasia Super App adalah percuma dan ia boleh dimuat turun dari Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery tanpa sebarang bayaran.

“Pembukaan semula sempadan membolehkan mereka yang lama terpisah dengan keluarga dan teman-teman untuk kembali bersua manakala yang ingin melancong pula boleh memilih untuk ke Singapura, Vietnam, Filipina, India, Thailand, Indonesia, Maldives, Brunei, Kemboja, Sri Lanka, Laos, Bangladesh dan lebih banyak dengan tambang serendah RM89 sehala, sementara laluan domestik bermula dari hanya RM39 satu laluan sahaja.

“Tempah penerbangan dengan memilih ‘Flights’ di aplikasi Airasia Super App dari sekarang hingga 27 Mac ini  untuk perjalanan bermula 1 April 2022 hingga 25 Mac 2023.

“Penumpang boleh menikmati perjalanan dengan tambang berpatutan dan lebih selamat dengan AirAsia kerana kami diiktiraf dengan tahap keselamatan dan integriti operasi tertinggi dengan penilaian 7/7 daripada pakar keselamatan industri penerbangan di airlineratings.com pada 2021 dan 2022,” katanya. – MalaysiaGazette

Ketua Pegawai Eksekutif, AirAsia Malaysia, Riad Asmat bergambar belatarkan belakang peta laluan baharu Air Asia pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Sempadan Negara Dalam Industri Penerbangan AirAsia di Red Q, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2),Sepang. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 22 MAC 2022.