Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp untuk membuat pelaburan AS$2.25 juta (RM9.46 juta) di dua syarikat, tiga tahun lepas.

Kamaruzzaman, 58, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang ketika itu memegang jawatan tersebut, telah memperdayakan Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp dengan tidak memaklumkan kedudukan syarikat World Logistic Council Ltd yang tidak mampu meneruskan operasi dan secara tidak jujur mendorong Ahli-Ahli Lembaga Pengarah JCorp bersetuju untuk melaburkan US$5 juta, yang mana US$1 juta telah dilaburkan dalam syarikat World Logistic Council Ltd manakala US$1.25 juta dilabur dalam syarikat World Logistic Council Americas LLC.

Kamaruzzaman didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 9.30 pagi hingga 1.45 tengah hari di Bilik Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, Tingkat 25, Menara Komtar di sini, pada 8 Julai 2019.

Dia dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta didenda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zander Lim Wai Keong memohon agar mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM200,000 dengan penjamin warganegara serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri dengan pejabat SPRM terdekat, menyerahkan pasport antarabangsa dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang perbicaraan.

Bagaimanapun, peguam K. Ragunath yang mewakili Kamaruzzaman, memohon agar wang jaminan dikurangkan serta pasport diserahkan sebelum 23 April memandangkan tertuduh akan menunaikan umrah pada 7 April ini.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan Kamaruzzaman memenuhi syarat-syarat tambahan tersebut serta membenarkan pasport diserahkan sebelum 23 April.

Kes akan disebut semula pada 25 Mei bagi serahan dokumen dan senarai saksi pendakwaan kepada pihak peguam bela.

Kamaruzzaman dilantik ke jawatan itu pada Disember 2010 menggantikan Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, sebelum bersara pada 12 Dis 2019.

— BERNAMA