Dua  lagi individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah agama di Selangor.

KUALA LUMPUR – Dua  lagi individu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah membabitkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah agama di Selangor.

Perintah tahanan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 21 Mac depan dikeluarkan oleh Majistret Nur Faizah Abdul Sani terhadap kedua-dua suspek lelaki  masing-masing berusia 42 dan 58 tahun.

Keputusan berkenaan dibuat selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret 3 di sini hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan di SPRM Selangor kira-kira pukul 7.30 malam semalam ketika hadir memberi keterangan.

Tambah sumber berkenaan, kedua-dua suspek yang merupakan penyelia kanan dan penyelia daripada sebuah jabatan agama dipercayai masing-masing menerima wang rasuah sebanyak RM40,000 sebagai balasan untuk mengesyorkan dan mendapatkan kerja-kerja menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur sekolah agama bagi tahun 2020.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sebagai rekod  15 Mac lalu, dua pegawai perkhidmatan pendidikan yang masing-masing berusia 50 tahun dan 46 tahun telah ditahan reman selama empat hari oleh SPRM bagi membantu siasatan kes sama.

Suspek lelaki berusia 50 tahun tersebut disambung reman selama tiga hari lagi bermula hari ini sehingga 20 Mac depan manakala suspek wanita yang berusia 46 tahun dilepaskan reman dengan jaminan SPRM.-MalaysiaGazette