mastura abdul yazid
Mastura Abdul Yazid

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa akan dibuat berdasarkan penilaian risiko kesihatan awam dan kapasiti hospital.

Ini termasuk fasa peralihan ke endemik yang akan berkuatkuasa mulai 1 April ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid.

Beliau menyatakan, konsep PPN itu sendiri jelas memberikan impak positif dalam usaha mengawal penularan dan jangkitan Covid-19 terutama dalam memastikan sistem kesihatan awam berada pada tahap yang stabil dan terkawal.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 8 Mac lalu telah mengumumkan bahawa negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik berkuatkuasa 1 April ini.

“Keputusan ini selari dengan langkah fasa peralihan ke edemik, yang mana kerajaan telah memutuskan supaya sempadan negara turut dibuka semula pada 1 April 2022,” katanya di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, keputusan pembukaan sempadan negara diputuskan dibuka pada 1 April ini berlandaskan kepada tiga perkara asas iaitu berpandukan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19.

Kedua, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan ketiga, memberi keselesaan kepada pengembara serta tidak merumitkan perjalanan mereka.

“Paling penting, Malaysia sekarang adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua.

“Justeru, kerajaan akan mengeluarkan senarai SOP pembukaan sempadan negara ini secara lebih terperinci dalam waktu terdekat terutama berhubung prosedur di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) di darat dan laut,” katanya. – MalaysiaGazette