Former UMNO Supreme Council Member, Datuk Lokman Adam at the Kuala Lumpur Courts Complex. PIX : AFFAN FAUZI / MalaysiaGazette / 23 JULY 2020 contempt of court intimidating threatening 1MDB witness Amhari Effendi Nazaruddin, who is also the former special officer to Najib. Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar Syarie Chief Judge
Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Kes saman Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar terhadap Datuk Lokman Noor Adam hari ini selesai secara baik selepas bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu membuat permohonan maaf kepada Ketua Hakim Syarie itu.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Mohd Na’im ketika dihubungi pemberita berkata pada prosiding secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff hari ini, beliau memaklumkan kepada mahkamah mengenai terma-terma dalam perintah persetujuan.

“Lokman menerima maklumat salah daripada pihak ketiga dan tidak menyemaknya terlebih dahulu dengan plaintif (Mohd Na’im) sebelum menyedari maklumat yang disampaikan itu adalah salah.

“Beliau (Lokman) kesal dan memohon maaf dengan apa yang terjadi serta berjanji tidak akan mengulanginya dan akan menurunkan kesemua penghantaran berunsur fitnah terhadap plaintif (Mohd Na’im),” katanya dan menambah Hakim Rozana merekodkan perintah persetujuan itu.

Prosiding itu turut disertai Na’im serta peguam Logen Eksander Abdullah dan Norfazilah Jaafar yang mewakili Lokman.

Logen Eksander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara itu dan berkata beberapa terma dalam perintah persetujuan tidak didedahkan atas persetujuan kedua-dua pihak.

Mohd Na’im, 54, memfailkan saman atas kapasiti peribadi dengan menuntut ganti rugi berjumlah RM30 juta daripada Lokman berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap beberapa wanita termasuk seorang ‘Datin.’

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook ‘Lokman Noor Adam Official’ pada 10 Jan dan 13 Jan lepas.

Mohd Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10 Jan dan 14 Jan selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 Jan dan 13 Jan lepas.

Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu membawa maksud antaranya beliau seorang penunggang agama, gagal menjadi pemimpin berkredibiliti dengan akhlak terpuji dan dihormati serta memberi teladan yang baik kepada masyarakat serta mencemarkan imej dan institusi Jabatan Kehakiman Syariah.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am yang akan ditaksir oleh mahkamah, ganti rugi teladan, teruk dan punitif masing-masing berjumlah RM10 juta, faedah, serta relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah selain permohonan maaf daripada defendan yang dimuat naik di media sosial.

— BERNAMA