Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berbincang bersama pembeli ketika mengadakan sesi lawatan berhubung isu kelewatan pemaju menyiapkan projek pembinaan rumah Aspire Residence, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2022.

CYBERJAYA – Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi jaminan kerja-kerja pembinaan pangsapuri, Aspire Residence, di Cyberjaya yang terbengkalai selama enam tahun akan siap menjelang Julai 2023.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, moratorium juga diberikan kepada pembeli yang berdepan kesulitan daripada segi pembayaran balik pinjaman termasuk mereka yang mendapat pembiayaan daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

“Tapi ada juga dalam kalangan mereka yang mengambil daripada bank komersial. Maka saya ada minta supaya perjumpaan dibuat bersama JPN (Jabatan Perumahan Negara) untuk lihat balik semula pembayaran dengan bank,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke tapak projek Aspire Residence yang melibatkan pembinaan 1,168 unit kediaman, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Hasleen Isnin.

Kini 85 peratus projek pembinaan tiga blok kediaman itu telah siap dibina.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berbincang bersama pembeli ketika mengadakan sesi lawatan berhubung isu kelewatan pemaju menyiapkan projek pembinaan rumah Aspire Residence, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2022.

Menurut Reezal Merican, walaupun urusan pembayaran balik pinjaman bank komersial di luar bidang kementeriannya, namun beliau komited untuk memastikan situasi yang dihadapi pembeli difahami pihak bank agar mereka tidak terlalu terbeban dengan pembayaran ansuran.

“Terutamanya pembeli di Blok 1 dan Blok 3 ini agak tinggi, kira-kira 558 pembeli. Dan mereka ini berdepan dengan pelbagai masalah kerana sudah enam tahun,” ujarnya

Menyentuh tentang Denda Serah Lewat (LAD) yang termaktub dalam perjanjian jual beli, Reezal Merican berkata, beliau telah mengarahkan SPNB untuk membuat pembayaran pendahuluan kepada pembeli-pembeli yang layak.

Tambahnya, ia merupakan permulaan perjalanan beliau untuk menyelesaikan projek-projek yang dikatakan ‘sakit’ di bawah bumbung kementerian itu.

Sementara itu, menteri tersebut memberitahu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencari jalan penyelesaian bagi projek-projek swasta yang dikategorikan sebagai ‘sakit’  dan ia perlu diselesaikan secara telus.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bercakap kepada media selepas mengadakan sesi lawatan berhubung isu kelewatan pemaju menyiapkan projek pembinaan rumah Aspire Residence, Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 MAC 2022.

Menurut Reezal, terdapat 39 projek dikategorikan sebagai  ‘sakit dua’ (projek todak siap tetapi sudah luput) di bawah KPKT kini dalam proses penyelesaian yang mana 21 projek adalah di bawah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan lima projek bawah SPNB. = MalaysiaGazette