Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengadakan rundingan dengan pembekal, pengguna dan penjual untuk menetapkan mekanisme harga untuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, rundingan juga diadakan dengan pembekal ayam dan daging agar harga barangan keperluan itu tidak membebankan orang ramai terutama membuat persiapan juadah berbuka puasa.

Mengenai harga ayam dan telur, kata beliau, kementeriannya telah meletakkan harga jangka panjang bermula 5 Januari hingga 4 Jun ini sebagai mana diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Kementerian mengadakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sebagai mekanisme yang diambil bagi menetapkan harga maksimum untuk barangan tertentu pada tempoh tertentu.

“SHMMP ini satu skim yang dilaksanakan dengan objektif untuk menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut atau mengambil untung secara berlebihan di kalangan peniaga semasa musim perayaan,” katanya di Parlimen, hari ini.

Menurut Alexander, sepanjang musim perayaan ini juga kementerian akan menambah barangan lain, selain menetapkan harga ayam dan telur untuk keperluan orang ramai.

Oleh itu, tegasnya, peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal itu tidak melebihi harga maksimum yang akan ditentukan nanti. – MalaysiaGazette