Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Pembangkang sepakat dengan mana-mana Ahli Parlimen yang mahu Akta Anti Lompat Parti dibahas, dibentang dan diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tidak ada sebab perbahasan akta itu ditangguhkan kerana perjanjian persefahaman Pakatan Harapan (PH) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu ia disegerakan.

“Pada saya, kita tidak ada pilihan melainkan melaksanakan, membentang dan meluluskan akta ini dalam sidang kali ini sebab ini adalah MoU yang telah kita tandatangani di peringkat PH dengan Perdana Menteri.

“Pada masa sama, apabila kita bercakap mengenai Undi-18 dan pendaftaran secara automatik, mereka ini sangat sinikal terutama kalau kita tidak laksanakan undang-undang untuk akta ini,” katanya dalam sesi perbahasan Akta Perbekalan Tambahan 2021-2022 pada persidangan Dewan Rakyat, petang ini.

Menurut Nik Nazmi, bagi wakil rakyat dan pemimpin yang tidak pernah lompat parti, apabila turun berkempen pada pilihan raya, mereka berdepan dengan kesukaran untuk meyakinkan rakyat.

Ini kerana, katanya, rakyat bertanya kepada mereka, kalau menang dalam pilihan raya pun, wakil rakyat akan lompat parti.

“Saya tak dapat bayangkan, bagaimana mereka yang lompat parti berdepan dengan pengundi mereka.

“Sebab itu saya harap kerajaan pastikan akta ini dibentang dan diluluskan dalam persidangan kali ini,” katanya. – MalaysiaGazette