Hadi (bukan nama sebenar) sedang menjalani hukuman sebagai tahanan limpah Sultan.

KAJANG – Berada di sebalik tirai besi dan berstatus banduan tidak menghalang Hadi (bukan nama sebenar) di Penjara Kajang di sini melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD).

Hadi, 36, yang kini berada dalam tahanan hampir 21 tahun memutuskan untuk menyambung pengajian ke peringkat tertinggi adalah semata-mata ingin membuat keluarganya berasa bangga selain mahu menjadi contoh terbaik kepada banduan lain.

Dia kini mengambil jurusan Perniagaan dan Pentadbiran di institusi Open University Malaysia (OUM).

“Sejak berusia 14 tahun saya sudah berada di sini dan pelbagai program telah dianjurkan Jabatan Penjara buat penghuni tirai besi terutama dari segi pendidikan.

“Dekat sini, saya ambil peperiksaan dari SPM hingga ke ijazah sarjana dan kini sedang menyambung menghabiskan PHD saya. Bagi saya Jabatan Penjara banyak membantu dan memberi peluang untuk kami mengubah hidup jadi lebih baik.

“Walaupun berada di sebalik tembok besi ini, ia bukan penghalang untuk berjaya sebaliknya satu peluang yang baik tidak akan saya lepaskan bagi membuktikan pada keluarga dan masyarakat bahawa saya mampu menyumbang ilmu yang ada,” katanya pada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Hadi menerima Sijil Kecermelangan Pendidikan di Majlis Sambutan Hari Penjara Ke-232 yang disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hadi antara tiga bantuan yang menerima penganugerahan itu berasa bangga dan menganggapnya satu penghormatan untuk dia melakukan yang lebih baik dalam kehidupannya.

“Perasaan saya apabila dipanggil untuk wakil anugerah pada hari ini, saya rasa satu penghormatan dan motivasi pada saya dan rakan yang lain untuk menjadi lebih maju pada masa akan datang.

“Pesanan saya kepada diri sendiri dan mereka yang berada diluar, pertama sekali hargai kebebasan yang ada. Kedua, ilmu amat penting dalam kehidupan kita. Cuba ambil peluang itu untuk berusaha memperbaiki kehidupan serta capai matlamat yang diimpikan.

“Ini kerana peluang kehidupan hanya sekali dan ia perlu dilakukan dengan sebaik mungkin agar tidak tersilap langkah,” ujarnya.

Hadi yang kini sedang menjalani hukuman sebagai tahanan limpah Sultan berkata, walaupun cabaran belajar di penjara berbeza dengan belajar secara bersemuka di universiti namun ia bukan satu halangan untuk menawan menara gading.

“Saya tidak tahu macam mana situasi belajar dekat luar dan tidak mahu bandingkan keadaan di sini dengan luar. Apa yang saya boleh katakan, cabaran di sini adalah masa untuk susun waktu belajar dengan program yang disediakan Jabatan Penjara.

“Saya perlu susun masa yang bersesuaian, contohnya apabila mahu berurusan dengan penyelia hanya boleh dilakukan secara online sahaja atas faktor keselamatan penjara. Jadi masa yang ada itu akan saya gunakan sebaik mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette