Rafizi Ramli
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, suara yang mengambil sikap mudah membelanjakan wang rakyat untuk menutup kerugian korporat semakin kuat kedengaran.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, rekod pentadbiran BN terutamanya semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri menunjukkan skandal-skandal besar pembaziran wang negara berlaku apabila BN merasakan mereka kuat dan tidak tercabar.

Beliau merujuk kepada kenyataan Najib pada 20 Mac lalu yang menggesa kerajaan melalui Petronas atau Khazanah Nasional untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad yang kini berdepan risiko muflis.

Najib, kata Rafizi memberi alasan rakyat yang memiliki institusi-institusi seperti Petronas atau Khazanah akan kerugian besar jika Sapura tidak diselamatkan.

Contoh-contoh kerugian yang diberikan termasuklah kerugian kepada pemegang Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM4 bilion, kerugian kepada Maybank sebanyak RM10 bilion dan kehilangan pekerjaan sebanyak 10,000 orang.

“Sementara saya simpati dengan nasib kakitangan Sapura yang berhadapan masa depan tidak menentu, membelanjakan berbilion wang rakyat kepada beberapa kerat syarikat korporat dalam keadaan semua perniagaan dan semua pekerja di segenap peringkat menghadapi kesusahan adalah tidak adil.

“Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu.

“Walaupun terus diberi suntikan wang rakyat, Sapura terus mengalami masalah kewangan pada kala harga minyak mentah berada pada paras yang tinggi (berbeza dengan syarikat minyak lain yang mendapat durian runtuh apabila harga minyak mentah dunia naik),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rafizi, sekiranya gesaan Najib diberi perhatian, wang rakyat yang boleh digunakan untuk membina kepakaran dan kemahiran usahawan kecil, anak-anak muda, memberi pinjaman pendidikan dan seumpamanya akan terus diperuntukkan untuk membela segelintir golongan elit.

“Mereka tidak pula memikirkan tanggungjawab mereka memberi pulangan pelaburan yang baik kepada rakyat,” ujarnya.

Justeru, Rafizi akan terus memantau isu ini dan membentangkan angka-angka dalam hari-hari yang seterusnya untuk mengingatkan rakyat supaya jangan terpedaya sekali lagi dengan idea pengurusan ekonomi dari Najib.

“Saya menunggu sama ada beliau (Najib) akan membalas kenyataan saya ini, seperti mana beliau begitu ghairah menjawab semua isu di media sosialnya selama ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette