Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin (dua dari kanan) bersama graduan diploma CBTM dalam sesi ketujuh Majlis Konvokesyen Ke-15 UMP.

KUANTAN – Seramai 45 graduan program kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) di bawah agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) menerima diploma baru-baru ini.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin menyempurnakan istiadat penganugerahan diploma itu pada Majlis Konvokesyen UMP Kali ke-15 yang berjaya melahirkan graduan dalam bidang Diploma Profesional Pengurusan Bakat Berasaskan Kompetensi (CBTM).

“Menerusi CBTM, pelaksanaan pembangunan modal insan dan pengurusan bakat ini selaras dengan kepentingan pembangunan sumber manusia pendidikan tinggi dan dunia kesarjanaan ke arah pemantapan penyampaian kerja berprestasi tinggi pada masa depan.

“Agenda pengurusan dan pemerkasaan bakat kepimpinan adalah penting dalam ekosistem organisasi dan institusi pendidikan tinggi selari dengan hasrat AKEPT yang mana kompetensi menjadi tonggak dalam membudayakan pengurusan bakat yang berwibawa di universiti awam,” katanya.

Beliau menyampaikan diploma dan ijazah kepada graduan UMP Advanced yang menyaksikan seramai 958 orang graduan terdiri daripada 510 graduan Master Eksekutif dan 448 graduan Bacelor Eksekutif dan Diploma Profesional pada sesi keenam dan ketujuh dalam istiadat konvekesyen.

Sementara itu, antara penerima Diploma CBTM, Mazula Sabudin merupakan Pendaftar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, pendedahan kepada ilmu sumber manusia dengan 10 modul yang ditetapkan  ini mampu melahirkan pegawai yang lebih kompeten dalam pengurusan bakat yang lebih berstruktur.

Tambahnya, usaha itu akan memperkasakan pengurusan bakat kepimpinan berteraskan kompetensi dengan lebih holistik dan objektif bagi mencapai kelestarian pengurusan bakat kepimpinan.

“Pembelajaran teradun ini merupakan satu kaedah yang menggabungkan pendekatan pembelajaran mod bersemuka dan pembelajaran mod atas talian,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau mengharapkan agar usaha AKEPT-UMP ini berterusan bagi merencanakan agenda kelangsungan kepimpinan universiti awam yang berwibawa untuk kecemerlangan pendidikan tinggi negara. – MalaysiaGazette