Mohamed Hanipa Maidin SOSMA Najib Razak Dewan Rakyat Parliament
The Member of Parliament of Sepang, Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Mohamed Hanipa Maidin berikrar mempertahankan Datuk Seri Najib Razak jika bekas perdana menteri itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mohamed Hanipa (Ahli Parlimen Sepang-PH) itu berkata, walaupun beliau tidak berpihak kepada Najib atas kesalahan  sewaktu menjadi perdana menteri namun Hanipa  tidak boleh menerima sebarang bentuk penahanan tanpa bicara ke atas mana-mana individu di bawah SOSMA.

Malah beliau yang juga seorang peguam itu menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang zalim.

“Andai kata Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib) ditahan dibawah SOSMA, saya juga akan menentang sebab kita tak boleh terima walaupun saya benci betul dengan Pekan ini (Najib)  kerana telah merosakkan negara tetapi kalaubeliau kena tahan bawah SOSMA saya orang pertama akan menentang penahanan itu.

“Kita menentang SOSMA bukan bermakna kita sokong keganasan. SOSMA undang-undang zalim, sesiapa pun kalau nak tegak undang-undang kena fikir soal keadilan walaupun kepada orang kena tuduh,” katanya ketika membahaskan usul dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hari ini.

Hamzah membuat usul berkenaan untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi lima tahun lagi.

Hanipa berkata, blok pembangkang menolak akta zalim yang berlaku kepada tahanan.

Dalam pada itu, M. Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat-PH) ketika turut mengambil bahagian membahaskan usul itu turut senada menolak Subseksyen 4 (5) SOSMA itu.

“Mereka yang ditangkap bawah SOSMA ada diseksa dan sebagainya. Saya cintakan negara ini, saya rela mati untuk negara ini, jadi YB menteri janganlah kata kita tak mencintai negara kalau kita tak sokong SOSMA ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Sebelum sesi rehat sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin membentangkan usul di Dewan Rakyat untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Lanjutan selama lima tahun lagi mulai 31 Julai depan bagi membolehkan pihak berkuasa untuk terus menggunakan peruntukan kuasa khas mengikut subseksyen berkenaan.

“Peruntukan Subseksyen 4(5) SOSMA perlu dilanjutkan dan tempoh tahanan 28 hari dikekalkan bagi memberi ruang masa yang cukup kepada polis melengkapkan siasatan kes kesalahan keselamatan yang bersifat rumit dan kompleks,” jelas Hamzah.

Ahli Parlimen Larut itu juga turut menyifatkan pihak yang tidak menyokong usul untuk dilanjutkan Subseksyen 4(5) SOSMA, adalah merupakan golongan yang memberi ruang kepada penjenayah atau pengganas bermaharajalela dalam negara. – MalaysiaGazette