Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan menerima satu laporan berkaitan kes kematian mengejut orang kena tahan (OKT) dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard) JIPS Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, Kejadian berlaku pada jam 7.30 pagi Rabu lalu.

“OKT adalah seorang lelaki Cina berumur 59 tahun, yang ditahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“OKT telah ditahan pada 22 Mac 2022 dan sepatutnya direman pada 23 Mac 2022 di mahkamah,” kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS akan menjalankan siasatan berkaitan kes tersebut bagi mengetahui punca kematian. – MalaysiaGazette