Skim Kuota Menegak Kerajaan Datuk Seri Dr Ismail Abd. Muttalib. Parliament Dewan Rakyat low-cost housing Khalid Samad
Deputy Minister of Housing and Local Government, Datuk Seri Dr Ismail Abd. Muttalib. Timbalan Menteri KPKT, Datuk Seri Dr Ismail Abd. Muttalib.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menolak dakwaan Khalid Samad (Parlimen Shah Alam-PH) kononnya wujud satu dasar di Johor yang memberikan rumah kos rendah kepada ahli parti-parti politik.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata, dasar itu tidak pernah digunakan kerajaan.

“Saya tidak pernah mendengar pemberian rumah kos rendah berdasarkan kepada parti politik. Kalau tengok pelaksanaan kita mengagihkan rumah-rumah ini, kita tidak pernah memilih latar belakang politik, agama dan budaya.

“Tapi bagi mereka yang berkelayakan samada B40, M40 kita akan berikan mereka peluang mengikut kemampuan atuapun kesesuaian,” katanya menjawab soalan lisan Khalid di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu, Khalid  mempersoalkan dawkaan di mana kerajaan mengamalkan dasar memberikan rumah kos rendah kepada parti-parti politik bagi mendapatkan sokongan.

“Ada satu dasar yang pernah digunapakai di Johor iaitu Skim Kuota Menegak Kerajaan di mana 20 peratus daripada rumah kos rendah diagihkan melalui parti politik dan dilihat sebagai satu usaha untuk beri ganjaran kepada petugas parti politik yang sedia.

“Mereka dapat rumah kos rendah mungkin dia sendiri sudah ada rumah.

“Adakah pihak kerajaan sanggup beri jaminan bahawa salah guna kuasa seperti ini dimana agihan rumah kos rendah diberikan melalui parti politik ditamatkan dengan cara yang tuntas,” soalnya.

Tidak puas hati dengan penjelasan itu, Khalid mendakwa  Ismail tidak tahu mengenai aktiviti itu.

Malah beliau turut mendakwa perkata itu turut dicanang oleh calon daripada kerajaan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“Saya terima kasih atas jawapan dan saya akui mungkin timbalan menteri tidak tahu kerana benda ini baharu tetapi dalam PRN Johor skim ini telah dijanjikan oleh calon Menteri Besar yang akhirnya tak jadi Menteri Besar.

“Kalau Barisan Nasional menang maka skim ini akan dikembalikan kerana kerajaan PH Johor sebelum ini telah tamatkan tetapi ia merupakan satu amalan biasa malahan di Wilayah Persekutuan dahulu pun pernah ada kes di mana ketua cawangan UMNO ada rumah kos rendah sedangkan dia ada rumah lain.

“Saya minta kerajaan berikan jaminan bahawa dasar yang songsang seperti ini tidak akan dilaksanakan dan tidak akan disokong,” kata Khalid lagi.

Mengulas mengenai itu, Ismail berkata, kerajaan tidak memilih bulu dalam aktiviti memberi rumah kos rendah kepada rakyat.

“Kita pasti tidak ada dasar seperti ini, sebab itu saya beritahu bahawa KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) menyediakan perumahan untuk golongan B40 mahu pun M40 tidak berasaskan kepada parti politik,” jawab Ismail lagi. – MalaysiaGazette