Rina Harun

KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited dalam memperjuangkan dan menangani punca perkahwinan bawah umur.

Oleh itu, isu ini tidak wajar dimanipulasikan oleh sesetengah pihak kerana Kementerian sentiasa memberikan komitmen yang tinggi dalam usaha menangani isu ini demi kepentingan terbaik kanak-kanak terutama aspek perlindungan dan kebajikan.

Ini selaras dengan usaha Kementerian membangunkan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang dilaksanakan bermula dari tahun 2020 hingga 2025.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pelaksanaan program di bawah pelan ini dipantau oleh Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai oleh wakil semua agensi pelaksana pelan tersebut.

Program dan tindakan yang dilaksanakan melalui Pelan Strategi Kebangsaan ini juga telah mengambil kira isu-isu yang merentas pelbagai sektor seperti perundangan, keibubapaan, sistem sokongan sosial, pendidikan, kesihatan dan kesedaran.

Menurut beliau, Pelan Strategi Kebangsaan ini turut menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi perempuan di bawah undang-undang keluarga Islam dinaikkan.

Pada masa yang sama, kementerian menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada September 2021 berdasarkan ketetapan melalui Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bil 1/2021 yang juga telah mengambil kira pandangan daripada negeri-negeri.

”Kementerian menghargai usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kerana telah mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur sebagai satu langkah konstruktif bagi memperketatkan lagi kelulusan perkahwinan bawah umur.

”Dengan wujudnya SOP ini, Hakim Syarie akan meneliti laporan sosial daripada JKM, laporan kesihatan dan semakan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan di sini.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan kes perkahwinan bawah umur yang direkodkan pada tahun 2016 sehingga 2020 telah menunjukkan trend penurunan perkahwinan yang melibatkan kanak-kanak di Malaysia.

Sebanyak 2,288 kes telah direkodkan pada tahun 2016 manakala 2,107 kes pada tahun
2017, 2018 (1,856 kes), 2019 (1,459 kes) dan 2020 (1,124).

Malah, katanya, kementerian itu sentiasa komited untuk memperkasakan strategi yang telah digariskan
melalui program dan tindakan dalam Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur melalui kerjasama erat dengan semua pihak yang berkaitan secara menyeluruh. – MalaysiaGazette