Hamdan Husin menyerahkan permit pasar Ramadan dan bazar Aidilfitri di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan melancarkan kempen ‘Bandar Rendah Gula’ sempena penganjuran bazar Ramadhan dan Aidilfitri pada tahun ini.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Hussin berkata, kempen dan inisiatif itu dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Kuantan tentang bahaya pengambilan gula secara berlebihan.

“Dalam jangka masa yang panjang, ia boleh meningkatkan berat badan dan menyebabkan obesiti.

“Keadaan ini akan menjadi lebih serius sekiranya diet harian adalah tinggi lemak dan kurangnya aktiviti fizikal yang dilakukan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Permit Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri Lestari dan Pintar MBK 2022.

Sementara itu, Hamdan memberitahu, terdapat 25 lokasi tapak bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah Kuantan melibatkan 17 penganjur pada tahun ini.

Waktu operasi bermula dari jam 3 petang hingga 8 malam bagi aktiviti pasar Ramadan dan dari jam 12 tengahari sehingga jam 12 tengah malam bagi aktiviti bazar Aidilfitri, ujarnya.

“Seramai 1045 peniaga menyewa tapak perniagaan berbanding 1,233 peniaga pada tahun 2021.

“Kadar permit perniagaan sebanyak RM180.50 dikenakan bagi peniaga makan dan minuman, manakala RM28.50 dikenakan kepada peniaga air tebu dan kelapa beserta deposit RM100, dan RM300 bagi kategori pelbagai,” katanya.

Menurut Hamdan, pihaknya menggalakkan warga Kuantan mengamalkan pembayaran tanpa tunai serta membantu peniaga-peniaga kecil mendigitasikan perniagaan mereka dan mengamalkan gaya hidup digital. – MalaysiaGazette