Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan dakwaan Rafizi Ramli bahawa kerajaan telah menyuntik berbilion-bilion ringgit ke dalam Sapura Energy Berhad sejak satu dekad lalu sebagai fakta yang dikutip dari longkang.

Menurut Najib, kerajaan tidak pernah menyuntik wang ke dalam syarikat tersebut.

Sebaliknya, ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan hanya Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyuntik wang ke dalam Sapura.

“Entah dari longkang mana dia kutip fakta. Kerajaan tak pernah suntik berbilion-bilion dalam Sapura.

“Yang suntik ialah PNB (wang Amanah Saham Bumiputera) pada tahun 2019, semasa kerajaan PH untuk PNB muncul sebagai pemegang saham terbesar Sapura dengan kepentingan 40 peratus,” jelas Najib.

Rafizi yang mahu muncul semula dalam politik selepas ‘bersara’ pada Disember 2019 dalam kenyataan terbaharu berkata, adalah tidak adil untuk menggunakan wang rakyat demi untuk menyelamatkan beberapa tokoh korporat.

“Lebih-lebih lagi apabila sejumlah wang yang besar melebihi berbilion-bilion ringgit telah pun disuntik ke dalam Sapura sejak lebih sedekad yang lalu,” kata Rafizi.

Sementara itu, Najib mahu Rafizi yang dikenali sebagai pakar formula PKR menamakan tokoh korporat yang akan diselamatkan sekiranya kerajaan membantu Sapura keluar daripada kemelut yang dihadapinya.

“Golongan elit mana yang dia dimaksudkan? Pemegang ASB? Pekerja-pekerja Sapura? Ribuan vendor-vendor bumiputera Sapura serta pekerja mereka yang terkesan dan bakal turut muflis atau hilang pekerjaan?

“Ataupun bank-bank tempatan seperti Maybank (milik PNB), CIMB (milik Khazanah) dan RHB (milik KWSP) yang akan menghadapi kerugian sebanyak RM10 bilion yang dipinjam kepada Sapura.

“Ataupun anak Tun Dr. Mahathir yang sudah tiada kepentingan dalam Sapura sejak tahun 2017. Dan sebab apa saya nak bantu anak Tun sekiranya dia masih ada kepentingan?

“Ataupun Shahril Shamsuddin yang masih ada kepentingan 10 peratus dalam Sapura setelah bersara dari Sapura pada bulan Mac 2021 lalu? Sebab Shahril ada kepentingan 10 peratus ia lebih wajar bagi PNB rugi empat kali ganda lebih besar dengan kepentingan 40 peratus supaya Shahril tak mendapat manfaat?

“Ini seumpama ‘saya lebih rela untuk rugi RM400 berbanding bantu seorang lagi kekalkan duit RM100nya”, kata Najib.

Tambahnya, masalah Sapura bukan kerana penyelewengan atau salah urus tadbir sebaliknya kerana bank tidak meluluskan pinjaman modal kerja sebanyak RM2 bilion pada tahun 2019.

Lockdown dan penutupan sempadan seluruh dunia dan Malaysia menghalang Sapura untuk menyampaikan kontrak-kontrak sedia ada.

“Jika kontrak tidak diusahakan maka Sapura tak terima bayaran dari pelanggan.

“Dan jika tak terima bayaran maka Sapura tak mampu bayar vendor dan bayar faedah bank,” kata Najib.

Lagi parah menurut Najib ialah kemudahan bank Sapura dibeku pada Oktober 2021.

Ini menyebabkan syarikat tersebut tidak mampu beroperasi seperti biasa dan tidak layak lagi untuk membida dan memenangi projek-projek baharu.

“Sebelum tahun 2019, aliran masuk wang tunainya masih mampu membayar faedah bank dan vendor.

“Tetapi ianya sebaliknya bermula tahun 2019 setelah PNB beli kepentingan 40 peratus untuk menjadi pemegang saham terbesar.

“Kenapa begini? Maka kena tanya kerajaan PH serta pengerusi PNB masa itu?” soal Najib.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, sekiranya kerajaan membiarkan Sapura muflis maka ia akan menimbulkan kesan buruk yang lebih besar.

Ini antaranya kerugian secara langsung kepada 10.6 juta pelabur ASB sebanyak RM4 bilion.

Kerugian secara tidak langsung kepada PNB, KWSP dan lain-lain tabung simpanan rakyat akibat hutang sebanyak RM10 bilion kepada bank-bank tempatan termasuk Maybank.

Hampir 10,000 pekerjaan bergaji tinggi akan hilang dan sekitar 4,500 pembekal akan terjejas yang kebanyakannya merupakan syarikat bumiputera.

Untuk rekod, Sapura Energy mencatatkan kerugian sejak 2019. Bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2022, Sapura Energy mencatatkan kerugian RM8.9 bilion.

Tiga daripada anak syarikat Sapura Energy telah diberikan notis petisyen penggulungan awal bulan ini.-MalaysiaGazette

 

1 Komen

Comments are closed.