Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes rasuah atas empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 23 MAC 2022.

KUALA LUMPUR – Mendiang Datuk Ewe Swee Kheng yang sepatutnya menjadi saksi dalam perbicaraan rasuah terowong dasar laut yang membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah melahirkan kebimbangan terhadap keselamatan dirinya.

Mendiang yang sepatutnya menjadi saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke-15 selepas beberapa pendedahan yang dibuatnya berhubung kes itu.

Bagaimanapun, Penolong Penguasa SPRM, Muhammad Nazree Mansor, Swee Kheng menolak tawaran perlindungan sebagai saksi kerajaan yang ditawarkan oleh pihaknya

Tambah beliau, mendiang pernah mendakwa Guan Eng yang merupakan Setiausaha Agung DAP ketika itu adalah seseorang yang untouchable (sukar disentuh).

Ketika membuat rakaman percakapan saksi itu, Swee Kheng memberitahu ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan telah terlepas daripada skandal banglo yang dibelinya pada harga yang rendah.

“Sekiranya ada yang tahu saya (Swee Kheng) membuat pendedahan ini, saya bimbang ada implikasi buruk kepada saya. Saya pernah dengar YB Lim Guan Eng banyak menerima wang dari pelbagai kontraktor.

“Saya (Swee Kheng) risau jika dedah semua rahsia ini, keselamatan saya dan juga perniagaan saya akan terjejas. Tetapi saya juga harus ceritakan perkara sebenar,” kata Muhammad Nazree yang membaca keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi.

Pada 5 Oktober 2021 Swee Kheng temui maut akibat terjatuh dari kondominium mewah The Palazzo, Jalan Kelawei, Pulau Pinang.

Mendiang ditemukan di bahagian bawah kondominiumnya dan punca kematian ialah kecederaan berganda akibat jatuh daripada tempat tinggi.

Pada 16 Disember 2021, mahkamah membenarkan rakaman percakapan mendiang diterima dan ditandakan sebagai eksibit dalam perbicaraan.

Guan Eng berdepan dengan pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Bagaimanapun Muhammad Nazree memberitahu, Swee Kheng tidak pernah menerima panggilan bersifat gangguan atau ugutan. – MalaysiaGazette