Tong Keong (dua dari kiri) mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan Pulau Pinang menyifatkan kerajaan DAP bertindak pasif dalam merancakkan semula sektor pelancongan negeri itu walaupun pembukaan sempadan negara akan bermula 1 April depan.

Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, pihaknya tidak lihat kesungguhan dan persediaan kerajaan Pulau Pinang dalam mengalu-alukan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Jelas beliau, kerajaan negeri sepatutnya menggunakan peluang keemasan pembukaan pintu sempadan untuk merancakkan semula industri pelancongan negeri ini yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Kita semua sedia maklum industri pelancongan merupakan salah satu sektor yang penting dalam ekonomi negeri ini sehubungan itu kerajaan Pulau Pinang harus menggunakan peluang ini untuk mempromosikan produk pelancongan agar dapat menarik lebih ramai pelancong sekali gus memulihkan ekonomi negeri.

“Adakah kerajaan DAP telah melancarkan produk pelancongan baru atau pakej baru sebagai persediaan menyambut pelancong? Sekiranya ada, mereka patut giat mempromosikannya bukan bertindak pasif.

“Bukankah kerajaan DAP mahir dalam teknik pemasaran atau publisiti sebegini? Mengapa rakyat Pulau Pinang tidak dapat melihat dan merasai kesungguhan kerajaan negeri dalam mempromosikan industri pelancongan negeri kita?,” soal Tong Keong.

Pada 8 Mac lalu, Kerajaan Persekutuan memutuskan sempadan negara dibuka bermula 1 April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

“Malaysia adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua. Dengan pembukaan semula sempadan, rakyat malaysia yang ada dokumen sah boleh keluar masuk seperti biasa dan boleh pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya.

“Kementerian yang berkaitan juga akan mengeluarkan SOP pembukaan sempadan negara secara terperinci dalam masa terdekat,” katanya. – MalaysiaGazette