Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali

KUALA LUMPUR – Penangguhan membuka pintu sempadan dari 1 Mac ke pada 1 April adalah disebabkan oleh pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, faktor itu adalah antara penyebab kepada penangguhan pembukaan pintu sempadan negara ketika itu.

“Keputusan penangguhan satu bulan untuk membuka pintu sempadan berdasarkan kepada beberapa perkara yang dibawa dalam perbincangan mesyuarat.

“Memandangkan pada ketika itu juga ada PRN Johor jadi kita bimbang sebab kita akan buat satu keputusan yang besar dimana buka sempadan memerlukan penumpuan dan fokus kepada perkara yang penting ini supaya negara terselamat.

“Pada ketika itu juga kita nak buat PRN, ini nak buat PRU pula dengan keadaan Covid-19 meningkat ini. Ada pula golongan yang nak buat PRN, jadi saya rasa ini ada perkara penting yang perlu diputuskan KKM untuk menangguhkan sehingga 1 April,” jawabnya kepada soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar-MUDA) di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq sebelum itu ingin tahu mengapa kerajaan tidak membuka pintu sempadan pada 1 Mac memandangkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac.

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata disebabkan kegagalan kerajaan membuka pintu sempadan maka ratusan ribu pengundi Johor gagal pulang untuk mengundi pada hari berkenaan.

“Apakah hujah berdasarkan sains dan data untuk kerajaan melambat dan menangguhkan pembukaan sempadan negara dari 1 Mac kepada 1 April.

“Khususnya apabila Pengerusi Majlis Pemulihan Negara telah membuat keputusan pada 1 Mac dan pasa masa yang sama tidak ada perbezaan jumlah jangkitan dan kes kematian tersebut. Ia ditangguhkan hanya untuk menghalang ratusan ribu anak Johor untuk balik mengundi?” soal Syed Saddiq.

Kerajaan sebelum ini mengambil pendekatan untuk membuka pintu sempadan negara pada 1 April dengan alasan tiga perkara asas iaitu panduan sains dan fakta terkini berkaitan Covid-19, membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain dan memberikan keselesaan kepada pengembara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membuat pengumuman itu berkata Malaysia adalah destinasi terbuka dan boleh dikunjungi semua.

Dengan pembukaan semula sempadan, Ismail Sabri berkata, rakyat Malaysia yang ada dokumen sah boleh keluar masuk seperti biasa dan boleh pergi ke mana-mana negara yang turut membuka pintu sempadannya. – MalaysiaGazette