Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar didakwa mengelirukan Dewan Rakyat.

Itu dakwaan Datuk Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena- PH) berhubung pembentangan Akta Anti Lompat Parti.

Ketika berakhir sesi soalan lisan, Mahfuz bingkas bangun dengan mendakwa Wan Junaidi gagal untuk menunaikan janji membentangkan Akta Anti Lompat Parti seperti dijanjikan sebelum ini bahawa ia akan dibentang dalam sidang kali ini.

“Menteri Undang-Undang, beri jawapan dalam Dewan Rakyat dan perdana menteri nyatakan bahawa Akta Anti Lompat Parti akan dibentang dalam Sidang ini tetapi sehingga sekarang masih belum dikemukakan, sedangkan esok hari akhir persidangan ini.

“Saya anggap bahawa jawapan rasmi di Dewan Rakyat ini khususnya oleh menteri undang-undang adalah mengelirukan dewan sedangkan kami pembangkang menanti bahawa penting akta lompat dibentang, ia penting kerana orang politik tak boleh jadi pelacur politik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Wan Junaidi dilaporkan berkata, beberapa cadangan pindaan perlembagaan akan dibentang semasa persidangan Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini termasuk RUU berkaitan Anti Lompat Parti dan mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal.

Ia selaras saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu RUU berkenaan disegerakan selepas kerajaan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik bersama PH pada 13 September 2021.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang berkait kelayakan Keluarga Diraja sebagai pengundi yang akan dibentangkan hari ini bukan perkara yang perlu disegerakan.

“Akta Lompat Parti ini perlu diutamakan dahulu sebab orang politik tak boleh jadi pelacur politik,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun menggesa Mahfuz mengemukakan usul kepada beliau bagi membolahkan perkara dibangkit boleh dibincangkan di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette