A. A. Anbalagan Serdang Seri Kembangan murder hacked body man
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan. Foto MOHD ADZLAN, 25 JUN 2021.

SERI KEMBANGAN – Seorang wanita warga Jepun akan didakwa di Mahkamah Petaling Jaya esok kerana disyaki membuat laporan palsu dirogol dan disamun sekumpulan individu tidak dikenali kepada polis.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 20 tahu itu pada jam 7.30 malam 1 Februari lalu.

“Dalam laporan itu wanita itu mendakwa dirinya menjadi mangsa samun dan rogol semasa berada di tepi jalan SP 5/4, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan.

“Mangsa mendakwa kononnya lima orang suspek lelaki warganegara benua Afrika telah mengambil barang miliknya dan merogolnya secara bergilir-gilir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, bertindak atas aduan itu, polis yang menjalankan siasatan mendapati laporan doktor yang memeriksa wanita itu menunjukkan tiada kesan rogol dan ia menimbulkan rasa curiga terhadap laporan yang dilakukan itu.

“Pengadu (wanita Jepun) telah dibawa ke kawasan tempat kejadian dan semasa berada di tempat kejadian, pengadu gagal menunjukkan bagaimana dan tempat kejadian sebenar yang berlaku.

“Pengadu juga gagal mengecam wajah lima orang suspek lelaki warganegara Afrika tersebut,” kata beliau.

Anbalagan berkata, siasatan lanjut mendapati terdapat keraguan terhadap laporan polis yang dibuat sebelum ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun polis tidak menjelaskan motif sebenar gadis Jepun itu membuat laporan palsu terbabit.

Katanya, setelah kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, arahan mendakwa wanita itu telah diterima dan pengadu akan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu kepada polis.

Jika disabitkan kesalahannya wanita itu boleh dihukum penjaga maksimum enam bulan, atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali, ujarnya. – MalaysiaGazette