Suasana lengang di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur ketika Tinjauan lensa Malaysia Gazette. Foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Seramai 2 juta penerima vaksin Sinovac berisiko kehilangan status vaksinasi di akaun MySejahtera masing-masing dalam tempoh seminggu dari sekarang kerana masih belum menerima dos penggalak.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, sehingga kini terdapat 2.09 juta penerima vaksin Sinovac masih belum menerima dos penggalak.

“Dalam seminggu lagi, KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) mengunjurkan mungkin akan ada 2 juta penerima vaksin Sinovac yang berisiko hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April,” katanya ketika sidang media yang berlangsung di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, terkini Singapura juga menetapkan pengambilan dos penggalak bagi penerima vaksin Sinovac untuk ke negara berkenaan tanpa perlu menjalani kuarantin.

“Saya bincang perkara ini dengan Menteri Kesihatan Singapura, Singapura juga mewajibkan lengkap vaksinasi untuk Sinovac, iaitu menerima tiga dos (termasuk dos penggalak)

“Jadi kalau nak pergi ke Singapura tanpa kuarantin, kamu perlu tahu apa yang perlu dilakukan,” tambah Khairy.

Selain itu, Menteri Kesihatan berkenaan menyifatkan kadar pengambilan dos penggalak kini amat perlahan.

“Untuk pengambilan dos penggalak, sekarang perlahan sangat dah tidak akan beri kesan sama ada Ramadan atau tidak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Khairy menegaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemakaian pelitup muka masih menjadi mandatori khususnya di kawasan yang mempunyai kehadiran individu lain dan di kawasan tertutup (tidak mempunyai pengudaraan).

Ujarnya, pengecualian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya apabila berada di kediaman, tidak melibatkan interaksi dengan individu lain bersukan, beriadah, mengadakan ceramah, menyanyi dan berlakon.

Jelas Khairy, SOP pemakain pelitup muka ini akan kembali diterbit dan dipromosikan semula bagi pengetahuan masyarakat.

“Kanak-kanak lima tahun tidak perlu pakai pelitup muka, begitu juga penghidap autisme dan indiviu yang mempunyai masalah pernafasan,” beliau berkata.

Beliau berkata demikian ketika ditanya, sama ada Malaysia akan mengikuti jejak langkah Singapura yang menetapkan pemakaian pelitup muka sebagai pilihan.-MalaysiaGazette