Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhammad Nur Aizat Noor Azam bercakap selepas pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SYAFIQ AMBAK, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu mengekalkan momentum kemenangan bergaya di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Exco Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam.

Katanya, langkah mengemukakan calon muda dan tawaran baharu dilihat faktor penting bagi memastikan golongan pengundi muda dalam Undi18 akan memilih komponen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Bagi memastikan kita punya sokongan daripada pengundi kali pertama maka BN dan UMNO kena tampilkan tawaran baharu yang boleh tarik keyakinan orang muda.

“Calon yang nak diketengahkan itu mesti muka baharu dan kena orang muda dan semestinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kes rasuah mahupun jenayah dan spekulasi.

“Antaranya adalah calon yang profesional dan amat bersesuaian untuk mengetengahkan isu rakyat dan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat dan pengundi. Itu aspek pertama,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Dalam kemenangan BN pada PRN Johor 12 Mac lalu banyak dipengaruhi faktor calon muka baharu dan strategi menarik undi orang muda.

Ia memperlihatkan gabungan itu memperolehi 40 daripada 56 kerusi yang ditandingi mereka.

Lantaran itu, Muhamad Nur Aizat berkata, UMNO dan BN tidak harus berkompromi dengan faktor penarik itu dan terus giat memastikan momentum kemenangan di PRN Johor tidak disia-siakan.

“Kita kena tawarkan apa janji manifesto yang akan memberikan kelebihan dan keuntungan kepada orang muda. Kita tahu manifesto merupakan satu hidangan utama sebab pengundi muda mereka tidak lagi cakna tentang sejarah yang telah dilakukan tapi orang muda akan memikirkan masa depan.

“Mereka nak tahu esok lusa apakah jaminan masa depan dan kestabilan bagaimana mereka nak meneruskan hidup. Adakah masalah pengangguran masih berlaku?,” katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Nur Aizat turut berkata, UMNO dan BN harus mencerminkan bahawa hanya gabungan itu yang boleh menjamin kestabilan politik dan mempunyai pengalaman urus tadbir yang baik kepada rakyat.

“UMNO dan BN harus membuktikan kita adalah parti yang mengandungi ramuan yang ada dalam kepimpinan dan juga calon yang ditonjolkan dalam pilihan raya ada kelebihan daripada segi urus tadbir yang baik.

“Maknanya bila ada masalah rakyat, ekonomi, kesihatan dan kebajikan antaranya UMNO dan BN boleh memberikan solusi terhadap masalah yang sedang dihadapi,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette