Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Pihak Kerajaan perlu memberi penjelasan berikutan kegagalan 31 ahli Parlimen mereka untuk hadir ketika sesi pengundian dijalankan terhadap usul pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ahli Parlimen PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, seramai 31 ahli Parlimen kerajaan tidak hadir pada sesi pengundian yang berlangsung semalam yang menyaksikan usul tersebut ditolak.

Ahmad Fahmi berkata, sekiranya ahli Parlimen terbabit hadir, usul berkenaan dengan mudah dapat diluluskan.

“Dari mereka jaja cerita kononnya Pakatan Harapan gagalkan MoU, lebih baik mereka jelaskan kenapa mereka tak hadir untuk sokong usul Kerajaan sendiri.

“Kalau 2, 3 dari mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus. Kenapa tak hadir?” tanya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Menurut Ahmad Fahmi, berdasarkan pemerhatian antara yang tidak hadir adalah Ahli Parlimen Bagan Datuk Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak.

Turut tidak hadir Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin dan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dewan Rakyat semalam gagal meluluskan usul untuk melanjutkan tempoh kuat kuasa Subseksyen 4(5) SOSMA.

Usul itu ditolak selepas keputusan undian belah bahagian menunjukkan hanya 84 Ahli Parlimen menyokong, manakala 86 Ahli Parlimen tidak menyokong, selain 50 Ahli Parlimen tidak hadir.

Beberapa pemimpin kerajaan termasuk Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemimpin Pakatan Harapan telah melanggar Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara kerajaan dengan parti pembangkang.

Annuar berkata, berdasarkan Perkara 3.3(b) dalam MoU menyatakan bahawa PH bersetuju akan mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul yang dikemukakan oleh kerajaan.

Namun semalam PH telah melanggar MoU tersebut, dengan secara mengejut meminta undi belah bahagi bagi satu usul yang dibawa oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ahli Parlimen PH juga telah mengundi untuk menolak usul tersebut.

Ahmas Maslan yang juga Setiausaha Agung UMNO, pula menyatakan, kerajaan dan perdana menteri tidak lagi terikat dengan MoU yang telah ditandatangani selepas pembangkang melanggar perjanjian. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. umNO…..dulu kini dan selamanya PARTI dan Pemimpin Suci…..jika berlaku Maksiat dosa rasuah salahgunakuasa MENINDAS dikalangan mereka LEPAS dan cuba dilepaskan

    Baling batu sembunyi tangan….Presiden UMnongok ZAHID MUNAFIK serta Najib serta wak AHMAD MASLAN yang tidak hadir DIPARLIMEN masih diDEWA2KAN OLEH penyokong2 TOTOK yg terus bersubahat RASUAH menuding jari salahkan pembangkang pula

    BUKA MATA DAN HATI WAHAI PEMUJA2 umnoNGOK BERAPA RAMAI DIKALANGAN pemimpin2 KAMU bergelumang DOSA RASUAH SALAHGUNA KUASA selama ini wpun disabit kesalahan masih BEBAS kemana2….TIDAK hairanlah jika ketua cawangan pun boleh diSUMBAT GELARAN DATO

Comments are closed.